Belanjawan 2026: RIM seru sokongan kerajaan terhadap industri muzik tempatan

Rosmin berkata industri muzik negara turut mencatatkan perkembangan memberangsangkan apabila merekodkan pendapatan tertinggi dalam sejarah iaitu RM339 juta pada 2024. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR: Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) menyeru kerajaan supaya memberikan sokongan lebih kukuh terhadap pembangunan industri muzik negara menjelang pembentangan Belanjawan 2026, bagi memperkasa sektor kreatif tempatan sebagai pemacu ekonomi digital Malaysia.
Pengerusi RIM Rosmin Hashim berkata peningkatan peruntukan dana kepada sektor muzik mampu memberi kesan limpahan ekonomi yang besar kepada negara kerana industri muzik kini antara aset digital bernilai tinggi yang berpotensi menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi nasional.
"Berdasarkan Kajian Impak Ekonomi Industri Muzik Malaysia oleh PwC bagi tempoh 2016 hingga 2020, industri muzik tempatan menjana RM19.4 bilion kepada ekonomi negara, menyumbang cukai tahunan RM531 juta dan menyokong purata 111,000 peluang pekerjaan setiap tahun.
"Peningkatan dana ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pemain industri muzik, malah turut menggerakkan sektor berkaitan seperti acara muzik langsung, media penyiaran, tempat hiburan dan pelancongan, sekali gus memperkukuh ekosistem industri kreatif negara," katanya dalam kenyataan semalam.Beliau berkata industri muzik negara turut mencatatkan perkembangan memberangsangkan apabila merekodkan pendapatan tertinggi dalam sejarah iaitu RM339 juta pada 2024, hasil daripada platform digital seperti YouTube, Spotify, Apple Music, TikTok dan Facebook serta kutipan daripada organisasi pengurusan kolektif seperti Music Authors Copyright Protection (MACP) Berhad, Public Performance Malaysia dan Recording Performers Malaysia Berhad.
"Jumlah ini belum mengambil kira hasil daripada aktiviti lain seperti penerbitan muzik, pengurusan artis dan konsert langsung. Jika semua elemen itu digabungkan, jumlah sebenar pendapatan industri muzik Malaysia pasti jauh lebih besar," katanya.
Rosmin berkata inisiatif Dana Kandungan Digital (DKD) Industri Muzik di bawah Kementerian Komunikasi telah menunjukkan keberkesanan dalam melahirkan lebih banyak karya berkualiti dan ia terbukti apabila penerima dana sebelum ini seperti Aina Abdul dan Dayang Nurfaizah masing-masing berjaya mendominasi senarai pencalonan utama Anugerah Industri Muzik (AIM) tahun ini.
Beliau turut menekankan keperluan untuk memperkukuh usaha mempromosikan muzik tempatan ke pasaran global, berikutan Malaysia memiliki kelebihan unik dengan kepelbagaian budaya yang boleh dimanfaatkan bagi menembusi pasaran besar seperti China, India dan Indonesia.
"Rakaman dalam bahasa Melayu, Cina dan India mempunyai potensi besar, selain genre nasyid yang mampu menembusi pasaran Islamik global. Dengan dasar kerajaan yang strategik serta kerjasama sektor awam dan swasta, Malaysia boleh menyaingi kejayaan Korea Selatan dan Jepun dalam mengeksport kandungan digital mereka.
"Kejayaan Korea Selatan dijadikan contoh apabila pelaburan kerajaan negara itu terhadap industri K-pop meningkat daripada 1 bilion Won kepada 319 bilion Won antara 2009 hingga 2013, dan dijangka mencecah 696 bilion Won pada tahun depan, ia membuktikan pelaburan dalam muzik mampu menjadi pemacu ekonomi negara.
Beliau berkata dengan sokongan dana lebih besar, latihan bakat tempatan yang berstruktur serta promosi luar negara yang agresif, industri muzik Malaysia mampu mencapai potensi maksimum.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami