Skip to main content

Malaysia

Tumpahan asid hidroklorik: JAS lakukan ujian air berhampiran lokasi kejadian

Sumber: BOMBA Pahang
JAS akan terus menjalankan pemantauan berkala di lokasi kejadian dan kawasan sekitarnya bagi memastikan tiada kesan pencemaran berlaku. - Foto JBPM Pahang

KUANTAN: Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menjalankan ujian air di lokasi berhampiran tumpahan asid hidroklorik akibat kemalangan sebuah lori tangki dekat Jambatan Cherating, di sini semalam. 

JAS dalam kenyataan memaklumkan ujian berkenaan dilakukan di tiga lokasi di kawasan paya bakau sebelum memasuki Sungai Cherating yang terletak kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian dan mendapati bacaan pH adalah normal, iaitu pH 6.

“Pemantauan bacaan pH dengan menggunakan peralatan YSI di Sungai Cherating pula mendapati bacaan pH air sungai adalah pH 9.4, menunjukkan tiada pencemaran asid,” menurut kenyataan itu. 

JAS memaklumkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) Pahang juga telah berjaya menutup venting line di bahagian belakang tangki seterusnya mengelakkan tumpahan yang banyak.

“Anggaran tumpahan adalah kira-kira 1,000 liter dan telah dineutralkan menggunakan soda ash. Tiada tumpahan lain dikesan,” menurut kenyataan itu. 

Menurut jabatan itu, sebarang pelepasan bahan pencemar yang menyebabkan pencemaran alam sekitar dan didapati melanggar peruntukan di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 [Akta 127] akan disiasat dengan teliti.

Sekiranya terdapat ketidakpatuhan terhadap peruntukan akta tersebut, tindakan penguatkuasaan yang tegas akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.

Kenyataan itu memaklumkan JAS akan terus menjalankan pemantauan berkala di lokasi kejadian dan kawasan sekitarnya bagi memastikan tiada kesan pencemaran berlaku serta memastikan semua langkah kawalan dan pembersihan dilaksanakan sepenuhnya mengikut keperluan ditetapkan.

Sebelum ini, seorang lelaki dilaporkan cedera selepas lori muatan asid hidroklorik dipandunya terbalik di Cherating, di sini pagi semalam, mengakibatkan cecair berkenaan tumpah dan mengalir ke dalam paya bakau.  

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement