KUALA LUMPUR: Pembentangan Belanjawan 2027 pada Jumaat dijangka memberi limpahan ekonomi yang luar biasa kepada rakyat negara ini, terutama golongan pekerja daripada kategori M40 dan B40 selain golongan belia termasuk pelajar di institusi pengajian tinggi (IPT).
Pensyarah Kanan Putra Business School (PBS), Prof. Madya Dr. Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, limpahan ekonomi itu dijangka hadir menerusi suntikan fiskal dalam bentuk bantuan tunai secara langsung serta pelbagai insentif lain.
Menurut beliau, langkah berkenaan mampu merancakkan ekonomi tempatan kerana ia dapat memastikan rakyat masih berkemampuan untuk berbelanja dan menjalani kehidupan dengan tenang tanpa terlalu tertekan susulan peningkatan kos sara hidup setiap tahun.
“Saya melihat pembentangan Belanjawan 2027 ini dijangka memberi limpahan ekonomi yang luar biasa kepada semua rakyat negara ini, terutama golongan pekerja daripada kategori M40 dan juga B40, tetapi tidak juga melupakan belia dan rakyat dalam pelbagai sektor dan industri.
“Limpahan ekonomi ini akan berbentuk suntikan fiskal melalui bantuan tunai secara langsung dan juga pelbagai insentif lain dan semua ini akan merancakkan ekonomi tempatan kerana kita mahu melihat bahawa rakyat masih lagi mampu berbelanja dan berdepan kos sara hidup dengan tenang tanpa tertekan apabila berlaku peningkatan setiap tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmed Razman menjelaskan, pendekatan Belanjawan 2027 dilihat lebih memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat, namun pada masa sama tidak melupakan usaha menarik minat pelabur untuk terus melabur di Malaysia.
Katanya, usaha memperkasakan ekonomi domestik juga perlu diteruskan bagi memastikan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mampu berkembang lebih jauh.
“Oleh itu, saya melihat pendekatan Belanjawan 2027 ini lebih kepada membantu kebajikan rakyat tetapi pada masa yang sama juga tidak melupakan untuk terus menarik minat pelabur untuk terus melabur di Malaysia.
“Pada masa yang sama, ekonomi domestik perlu diperkasakan untuk memastikan bahawa PMKS mampu pergi lebih jauh,” ujarnya.
Beliau menegaskan, segala usaha berkenaan perlu dilaksanakan berdasarkan tadbir urus yang kukuh dan mantap bagi memastikan kemakmuran serta limpahan ekonomi yang diperoleh negara dapat dinikmati oleh seluruh rakyat.
“Sudah tentu semua ini harus dilaksanakan berdasarkan tadbir urus yang kukuh dan mantap dan semua ini yang kita lihat adalah hasrat rakyat untuk memastikan apa sahaja kemakmuran limpahan ekonomi yang diperoleh oleh negara akan tumpah memberi manfaat kepada keseluruhan rakyat,” katanya.