Skip to main content

Malaysia

EVAW 2026: Tangani keganasan terhadap wanita, perkukuh sokongan mangsa

Sambutan yang membawa seruan “Bersuaralah: Noktahkan Keganasan Terhadap Wanita” itu bersempena Kempen 16 Hari Aktivisme Menentang Keganasan Berasaskan Gender, yang berlangsung dari 25 November hingga 10 Disember. - Gambar KPWKM
Sambutan yang membawa seruan “Bersuaralah: Noktahkan Keganasan Terhadap Wanita” itu bersempena Kempen 16 Hari Aktivisme Menentang Keganasan Berasaskan Gender, yang berlangsung dari 25 November hingga 10 Disember. - Gambar KPWKM
Advertisement

KUALA LUMPUR: Masyarakat diseru supaya bersuara apabila mengetahui berlakunya penderaan dan membantu mangsa mendapatkan perlindungan, antara mesej utama Sambutan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita 2026 (Elimination of Violence Against Women, EVAW) di Menara Kuala Lumpur pada Rabu.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Lim Hui Ying berkata, daripada 5,862 kes keganasan rumah tangga yang direkodkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dari Januari hingga September 2026, sebanyak 4,411 kes melibatkan mangsa wanita.

“Oleh itu, usaha membanteras keganasan tidak boleh diletakkan di bahu mangsa semata-mata. Kerajaan, keluarga, komuniti dan seluruh masyarakat mempunyai tanggungjawab untuk memastikan wanita dilindungi serta mendapat bantuan apabila diperlukan,” katanya dalam ucapan perasmian sambutan itu.

Advertisement

Sambutan yang membawa seruan “Bersuaralah: Noktahkan Keganasan Terhadap Wanita” itu bersempena Kempen 16 Hari Aktivisme Menentang Keganasan Berasaskan Gender, yang berlangsung dari 25 November hingga 10 Disember.

Hui Ying turut melancarkan Ikrar Digital: Toleransi Sifar Keganasan Terhadap Wanita, yang mengajak orang ramai menolak sikap menyalahkan mangsa dan tidak berdiam diri apabila mengetahui berlakunya penderaan.

Advertisement

“Toleransi sifar keganasan bermakna kita memilih untuk menghormati maruah, keselamatan dan hak setiap wanita dalam kehidupan seharian. Ikrar ini menjadi satu peringatan kepada semua bahawa kita perlu lebih berani menegur sikap dan juga amalan yang membuka ruang kepada keganasan,” ujarnya.

Image
EVAW 2026 INSERT
Lim Hui Ying ketika berucap pada Sambutan Hari Menangani Keganasan Terhadap Wanita 2026. -Kredit KPWKM

Sambutan itu turut memberi perhatian kepada penderaan kewangan, termasuk apabila wanita diugut supaya menyerahkan gaji, dihalang daripada mengakses akaun bank sendiri atau dipaksa membuat pinjaman atas nama mereka.

“Kita perlu memahami bahawa apabila wang digunakan untuk mengugut, memaksa atau mengawal seseorang, perbuatan itu juga merupakan satu bentuk penderaan,” jelasnya.

Hui Ying berkata, akses kepada wang sendiri boleh menentukan sama ada seseorang wanita mampu mendapatkan pengangkutan, mencari tempat tinggal yang selamat atau memenuhi keperluan harian anak-anaknya.

Pada majlis sama, beliau melancarkan dokumen Financial Abuse and Financial Resilience: Policy Considerations for Islamic Financial Institutions in Malaysia, yang disediakan oleh United Nations Population Fund (UNFPA) dengan kerjasama International Research Centre of Islamic Economics and Finance (IRCIEF).

Beliau berharap saranan dalam dokumen itu dapat membantu institusi kewangan memperkukuh perlindungan wanita dan menyokong usaha mereka mendapatkan semula kawalan terhadap kewangan sendiri.

Di peringkat komuniti, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) melaksanakan 144 program dan kempen pencegahan keganasan serta diskriminasi di seluruh negara pada 2026, yang memanfaatkan 37,774 peserta.

“Jadi KPWKM melalui JPW telah menyantuni wanita dan mangsa keganasan dengan memberikan fokus utama kepada usaha menterjemahkan advocacy kepada tindakan sokongan dan pemerkasaan,” katanya.

Image
EVAW 2026 INSERT
Dokumen Financial Abuse and Financial Resilience: Policy Considerations for Islamic Financial Institutions in Malaysia turut dilancarkan bagi memperkukuh perlindungan wanita dan menyokong usaha mereka mendapatkan semula kawalan terhadap kewangan sendiri. -Kredit KPWKM

Antara inisiatif itu ialah Program Advokasi Kesejahteraan untuk Wanita@Keganasan Rumah Tangga (Aku Wanita@KRT), yang membantu masyarakat mengenali tanda awal penderaan, memahami hak mereka dan mengetahui saluran bantuan yang tersedia.

Bagi mereka yang memerlukan sokongan selepas krisis, Program Santun Kasih Pemandiri@Keganasan Rumah Tangga (SARI@KRT), yang dilancarkan pada 20 Ogos lalu, menyediakan sokongan psikososial serta rujukan kepada agensi yang bersesuaian.

Menara Kuala Lumpur turut disinari cahaya jingga menerusi kempen Orange the Nation sebagai tanda solidariti dalam usaha menamatkan keganasan terhadap wanita.

Mangsa yang memerlukan bantuan boleh menghubungi Talian Kasih 15999, yang beroperasi 24 jam setiap hari.

Must Watch Video

Advertisement