Skip to main content

Bisnes

Belanjawan 2027: Kesan El Nino antara fokus KPKM - Mohamad

KLANG, 18 Ogos -- Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu (kiri) menjawab pertanyaan media pada Majlis Perasmian Agrobank Cawangan Klang di Bandar Botanic Klang hari ini.  -- fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mohamad (kiri) menjawab pertanyaan media pada Majlis Perasmian Agrobank Cawangan Klang di Bandar Botanic Klang hari ini. - Gambar Bernama
Advertisement

KLANG: Kesan El Nino terhadap sektor pertanian serta keterjaminan makanan dijangka menjadi antara fokus Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam penyediaan Belanjawan 2027.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata berdasarkan pertemuan dengan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan semalam, terdapat keperluan untuk membuat persiapan termasuk peruntukan menghadapi kesan El Nino yang dijangka bermula September ini.

“Selain peruntukan yang biasa disalurkan (kepada sektor pertanian dan keterjaminan makanan), ini antara tambahan yang kita bincangkan semalam.

“Dalam taklimat itu, Kementerian Kewangan dijangka menyediakan keperluan mendadak akibat perubahan daripada kesan El Nino,” katanya selepas merasmikan Agrobank cawangan Klang yang berpindah dari Lorong Batu 3, Pusat Bandar Klang ke Bandar Botanik hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad berkata Agrobank akan terus memperkukuh tawaran perkhidmatan kewangannya di Lembah Klang termasuk menerusi pemindahan operasi ke Bandar Botanik.

“Lokasi baharu ini membuka ruang kepada Agrobank untuk mendekati lebih ramai individu, usahawan dan perniagaan. Usaha itu selari dengan aspirasi Ekonomi MADANI iaitu memperkasakan rakyat.

“Antara lain, ia menekankan pembangunan ekonomi yang dapat diterjemahkan kepada peningkatan kualiti hidup rakyat serta pengukuhan keupayaan usahawan,” katanya semasa berucap pada majlis itu.

Cawangan ke-159 Agrobank itu berpindah dan dinaik taraf dari lokasi asal di Pusat Bandar Klang, selaras dengan perkembangan kawasan komersial serta potensi pertumbuhan ekonomi di sekitar daerah tersebut.

Sementara itu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata pemindahan dan penaiktarafan cawangan Klang itu sebagai usaha memastikan perkhidmatan dapat berkembang seiring dengan perubahan keperluan pelanggan serta potensi ekonomi setempat.

“Kami sentiasa berusaha menambah baik pengalaman pelanggan dan memastikan perkhidmatan kekal relevan dengan keperluan semasa.

“Naik taraf ini bukan sekadar menyediakan persekitaran perbankan yang lebih selesa tetapi turut membolehkan kami menawarkan perkhidmatan dengan lebih menyeluruh kepada individu dan perniagaan di kawasan itu,” katanya.  

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement