Skip to main content

Malaysia

Fahmi sertai dua forum peringkat menteri di Doha, perkukuh kerjasama digital global

Fahmi dijadual menyertai dua forum peringkat menteri di Doha hari ini yang memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam pembangunan dan masa depan ekosistem digital.
Fahmi dijadual menyertai dua forum peringkat menteri di Doha hari ini yang memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam pembangunan dan masa depan ekosistem digital.
Advertisement

DOHA: Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil hari ini dijadual menyertai dua forum peringkat menteri yang memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh kerjasama antarabangsa dalam pembangunan dan masa depan ekosistem digital.

Kedua-dua program itu ialah Ministerial Panel bersempena dengan Mobile World Congress (MWC) Doha 2026: Digital Leadership Forum dan Persidangan Plenipotensiari Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU PP-26) Ministerial Roundtable yang berlangsung di Doha Exhibition and Convention Centre (DECC).

Penyertaan Fahmi dalam kedua-dua platform berkenaan merupakan antara pengisian utama lawatan kerja beliau ke Doha, selain mengetuai delegasi Malaysia ke ITU PP-26.

Advertisement

Menurut jadual rasmi delegasi Malaysia, Fahmi dijadual menghadiri majlis sambutan MWC Doha 2026 sebelum menyertai sesi panel peringkat menteri bertajuk Accelerating Cooperation for a Connected Digital Future.

Sesi itu menyediakan platform perbincangan mengenai kepentingan kerjasama dalam membentuk masa depan digital yang lebih saling berhubung.

Advertisement

Pada sebelah petang, Fahmi dijadual menyertai PP-26 Doha Ministerial Roundtable yang merangkumi ucapan pembukaan, pembentangan meja bulat peringkat menteri serta sesi perbincangan.

Program berkenaan turut dijadual menyaksikan pelancaran Doha Ministerial Declaration yang menjadi antara agenda utama pertemuan itu.

Selain itu, Fahmi dijadual mengadakan lawatan ke reruai beberapa syarikat teknologi dan telekomunikasi antarabangsa termasuk Huawei, Ericsson, Ooredoo, Nokia dan VEON di DECC.

Pada sebelah malam, beliau dijadual menghadiri majlis makan malam anjuran Persatuan Sistem Komunikasi Mudah Alih Global (GSMA) bersempena dengan MWC Doha.

Lawatan kerja Fahmi ke Doha turut membawa misi penting Malaysia untuk mempertahankan kerusi Ahli Majlis ITU bagi penggal 2027-2030.

ITU PP-26 yang berlangsung di Doha merupakan persidangan tertinggi ITU yang diadakan setiap empat tahun bagi menentukan hala tuju, dasar dan pelan strategik organisasi itu.

Malaysia yang menjadi anggota ITU sejak 3 Feb 1958, berjaya dipilih sebagai Ahli Majlis ITU bagi penggal 2023-2026 pada persidangan PP-22 di Bucharest, Romania.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement