Skip to main content

Politik

[TERKINI] PRN Melaka: Isu nasional tidak jejas momentum BN, pengundi utamakan masa depan negeri - Khairy

Menurut Khairy, berdasarkan pemerhatian sepanjang dua hari berada di Melaka, isu nasional sememangnya diketahui penduduk, namun keutamaan mereka adalah masa depan negeri.
Menurut Khairy, berdasarkan pemerhatian sepanjang dua hari berada di Melaka, isu nasional sememangnya diketahui penduduk, namun keutamaan mereka adalah masa depan negeri.
Advertisement

SUNGAI RAMBAI: Isu di peringkat nasional termasuk perkembangan berkaitan pelaksanaan tahanan di rumah membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tidak dilihat menjejaskan momentum kempen Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin berkata, pengundi di Melaka lebih memberikan perhatian kepada pemilihan calon serta pentadbiran kerajaan negeri yang mampu membangunkan negeri itu dan menjaga kesejahteraan rakyat.

Katanya, berdasarkan pemerhatian sepanjang dua hari berada di Melaka, isu nasional sememangnya diketahui penduduk, namun keutamaan mereka adalah masa depan negeri.

Advertisement

“Berita nasional itu orang Melaka tahu. Tetapi yang lebih penting bagi mereka adalah untuk memilih calon dan juga pentadbiran kerajaan negeri yang boleh membangunkan negeri Melaka serta menjaga kesejahteraan dan kebaikan orang Melaka.

“Jadi, saya nampak setakat ini sambutan sangat baik,” katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian selepas acara “Jom jogging bersama KJ” di Sawah Telok Rimba, di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, beliau melihat perkembangan positif terhadap sambutan pengundi sepanjang aktiviti kempen yang disertainya bersama calon BN di beberapa kawasan.

Beliau berkata, antara calon yang ditemuinya ialah calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Rambai, Jezlee Pit dan calon DUN Merlimau, Dr Muhamad Akmal Saleh.

Katanya, BN akan terus mengekalkan momentum berkenaan dengan mendekati pengundi, selain memberikan penjelasan dari semasa ke semasa berhubung isu di peringkat nasional.

“Kita jangan pedulikan sangat isu nasional. Ada masa, dari masa ke semasa kita akan beri penjelasan, contohnya apa yang sedang berlaku, kes Datuk Seri Najib dan sebagainya.

“Tetapi saya nampak orang Melaka lebih pentingkan soal masa depan negeri melalui PRN ini,” ujarnya lagi.

Turut hadir penyandang DUN Merlimau Dr Akmal Salleh bersama calon DUN Sungai Rambai Jezlee Pit di Sawah Telok Rimba bersama penduduk Sungai Rambai.

Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bagi memohon ampun dan menjelaskan keputusan menangguhkan sementara pelaksanaan tahanan di rumah terhadap Najib.

Must Watch Video

Advertisement