ISTANBUL: Bakal Senator Amerika Syarikat (AS), Abdul El-Sayed menubuhkan sebuah jawatankuasa tindakan politik yang dinamakan “Habibi PAC”, beberapa hari selepas memenangi pilihan raya Senat, sekali gus memberi isyarat bahawa beliau berhasrat untuk terus memainkan peranan penting dalam politik Parti Demokrat selepas kempen pilihan rayanya berakhir, lapor Anadolu Ajansi memetik The Hill pada Sabtu.
Menurut dokumen yang difailkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya Persekutuan, ahli politik Demokrat dari Michigan itu menubuhkan jawatankuasa tindakan politik kepimpinan (PAC) yang berasingan daripada jentera kempennya dan bertujuan mengumpul dana bagi menyokong sekutu politiknya.
Nama jawatankuasa itu diambil daripada perkataan Arab “Habibi” yang bermaksud “kesayanganku”, ungkapan yang menjadi popular sepanjang kempen El-Sayed dan dalam kalangan penyokongnya.
El-Sayed yang secara terbuka menonjolkan identitinya sebagai seorang Muslim sepanjang kempen pilihan raya, berulang kali menjadi sasaran serangan berkaitan agamanya.
Ahli politik Demokrat itu menang dengan majoriti besar di Michigan, sebuah negeri penentu yang penting dari segi politik dan berpotensi memainkan peranan utama dalam pilihan raya presiden 2028.
-- BERNAMA-ANADOLU