Ringkasan AI
- Belanjawan MADANI 2027 memperuntukkan RM510 bilion dengan sasaran defisit fiskal 3.3%, menekankan keseimbangan antara bantuan rakyat dan disiplin kewangan.
- Gaji minimum dinaikkan kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027, manakala graduan dan pekerja separa mahir akan menerima gaji minimum RM2,500.
- Bantuan tunai STR dan SARA dinaikkan kepada RM16 bilion, pelepasan cukai individu ditingkatkan, serta pelbagai inisiatif diperkenal untuk perlindungan sosial dan pemilikan rumah mampu milik.
KUALA LUMPUR: Ditelan mati emak, diluah mati bapa. Begitulah perasaan saya setiap kali menyediakan belanjawan negara ketika menjadi Menteri Kewangan dahulu. Dari pagi hingga lewat malam, meneliti angka demi angka yang tidak pernah cukup untuk memenuhi semua keperluan negara.
Setiap ringgit ‘direbut’ dan ‘dibahas’. Bantuan yang sangat diperlukan sesebuah keluarga pada hari ini terpaksa diimbangi dengan disiplin kewangan demi masa depan anak-anak mereka – satu tanggungjawab yang bukan mudah.
Belanjawan MADANI 2027 berjaya mengimbangi kedua-dua objektif tersebut. Jumlah belanjawan naik kepada RM510 bilion, berbanding RM470 bilion, tapi defisit fiskal tetap disasarkan pada 3.3%, berbanding 5.5% pada 2022.
Ini bukan kebetulan. Ini hasil keberanian untuk membuat keputusan sukar, walaupun ia jauh lebih mudah untuk Kerajaan MADANI berbelanja besar sekarang, dan membiarkan generasi akan datang menanggung bebannya.
Tapi angka semata-mata tidak cukup untuk menyentuh hati rakyat. Nilai sebenar sesuatu pelaburan bukan pada pengumuman angka-angka besar. Nilainya terletak pada gaji yang dibawa balik oleh seorang ibu setiap hujung bulan. Nilainya adalah apabila sesebuah keluarga tidak lagi terpaksa memilih di antara sewa rumah atau sesuap nasi.
Reformasi membina keyakinan, keyakinan menarik pelaburan, dan pelaburan akhirnya mesti membawa kepada pekerjaan yang lebih baik dan gaji yang lebih tinggi untuk rakyat.
Angkat paras gaji setiap pekerja
Sudah terlalu lama gaji rakyat Malaysia tidak seiring dengan kenaikan harga barang. Gaji pekerja cuma 33.9% daripada KDNK, dan keadaan menjadi lebih parah dengan krisis di Asia Barat.
Justeru, saya amat mengalu-alukan kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027. Lebih empat juta pekerja bakal merasai manfaatnya, manakala syarikat PKS pula diberi masa untuk menyesuaikan diri.
Sudah beberapa kali saya menyuarakan keperluan untuk menetapkan gaji minimum yang lebih tinggi, dan saya juga telah beberapa kali menegur syarikat yang meraih keuntungan besar supaya berkongsi rezeki dengan pekerja secara lebih adil.
Lebih bersejarah lagi, buat pertama kalinya gaji minimum RM2,500 diperkenalkan untuk graduan dan pekerja separa mahir. Bayangkan seorang anak muda, yang berjaya menjadi graduan berkat pengorbanan ibu bapa, namun tawaran gaji pertama amat tidak setimpal dengan usaha.
Zaman tersebut bakal berakhir. GLIC dan GLC telah pun menunjukkan contoh dengan meningkatkan penanda aras gaji kehidupan wajar kepada RM3,400 untuk 230,000 pekerja. Sekarang giliran sektor swasta pula untuk turut sama menyumbang kepada pembangunan negara.
Bantuan bila harga barang naik mendadak
Bagi ramai rakyat Malaysia, isu kos sara hidup amat menggusarkan. Belanjawan ini mengurangkan kebimbangan tersebut melalui bantuan tunai STR dan SARA yang dinaikkan kepada RM16 bilion, dua kali ganda berbanding RM8 bilion pada 2022.
Sehingga sembilan juta penerima STR bakal mendapat bantuan SARA sehingga RM1,800 setahun. Kira-kira 13 juta lagi rakyat dewasa, termasuk golongan M40 yang sekian lama merasakan diri mereka terpinggir, akan mendapat bayaran RM100 dua kali pada 2027: sebelum Hari Raya dan menjelang Hari Merdeka.
Setiap Kerajaan sedar subsidi bersasar diperlukan, tetapi tidak ramai yang berani melaksanakannya. Sekarang, berbilion ringgit yang dulunya 'bocor' kepada mereka yang tidak perlukan subsidi, akhirnya dikembalikan kepada rakyat yang betul-betul perlukannya.
Kelegaan buat golongan pertengahan yang tersepit
Belanjawan ini juga mendengar suara golongan pertengahan, yang selama ini banyak membantu memikul beban negara. Buat pertama kali sejak 2010, pelepasan cukai individu dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000. Cukai pendapatan bagi pendapatan bercukai RM70,000 hingga RM150,000 pula diturunkan satu mata peratusan penuh.
Pelepasan cukai kini meliputi penjagaan selepas bersalin, semua kos menjaga ibu bapa dan datuk nenek (bukan bil perubatan saja), dan yuran tuisyen anak-anak. Kira-kira lima juta pembayar cukai boleh jimat sehingga RM1,600 setahun. Jumlah itu membolehkan mereka membeli kasut sekolah anak-anak, barang dapur, dan sedikit ruang untuk bernafas.
Jaringan keselamatan dan rumah mampu milik untuk yang selama ini tercicir
Kira-kira 600,000 rakyat Malaysia setiap hari meredah jalan sesak, hujan dan penat lelah untuk menghantar makanan kita dan bawa kita balik rumah, selalunya tanpa sebarang perlindungan sosial. Belanjawan ini akhirnya memberi sokongan yang lebih terselaras untuk mereka.
Majlis Perundingan Gig akan menetapkan standard pendapatan minimum dan perlindungan sosial pada awal 2027. Sementara itu, kerajaan dan Grab akan sama-sama membiayai pakej RM160 juta yang boleh menaikkan pendapatan median pemandu e-hailing sehingga RM227 sebulan.
PERKESO akan menyumbang 35% caruman pekerja gig, naik kepada 50% jika platform gig turut mencarum. Setiap warganegara pula akan didaftarkan secara automatik sebagai ahli KWSP sebaik umur 18 tahun.
Untuk keluarga yang dihimpit hutang, Alliance Bank, Maybank dan CIMB kini menawarkan kad kredit asas dengan kadar faedah tidak lebih 14% setahun. Had kebankrapan dinaikkan kepada RM150,000. Bayaran balik PTPTN pula ditangguhkan untuk lebih 400,000 peminjam yang bergaji sehingga RM2,500 sebulan, dan yang bergaji sehingga RM3,000 cuma perlu membayar minimum RM50 sebulan.
Ini bukan sekadar angka. Ini bantuan nyata untuk mereka yang hakikatnya bergelut dengan kos sara hidup setiap hari.
Rumah merupakan tempat sesebuah keluarga membina kehidupan. Namun ramai anak muda Malaysia merasakan pemilikan rumah sendiri adalah ibarat pungguk rindukan bulan. Kini, Alhamdulillah, hampir RM1 bilion diperuntukkan untuk rumah mampu milik di seluruh negara.
Pembeli rumah pertama pula tidak perlu membayar duti setem untuk rumah sehingga RM500,000. SJKP juga akan menjamin pembiayaan perumahan sehingga RM20 bilion untuk membantu 80,000 pembeli rumah pertama, terutamanya yang bekerja sendiri, yang kerap ditolak bank kerana dianggap tidak layak mendapat pinjaman.
Jaga kesihatan dan pendidikan rakyat
Kemelut doktor kontrak kini hampir selesai, dengan lebih 9,000 doktor ditawarkan jawatan tetap pada 2027. Mereka yang menjaga kita semasa negara melalui saat getir memang layak mendapat yang terbaik. Peruntukan baik pulih sekolah digandakan kepada RM2 bilion, manakala Bantuan Awal Persekolahan untuk setiap murid dinaikkan kepada RM200.
Seluruh negara berganding bahu
Yang membuat Belanjawan ini istimewa ialah kerajaan tidak memikul beban ini seorang diri. GLIC akan menggerakkan RM25 bilion pelaburan dalam negara, ditambah RM11 bilion lagi melalui kerjasama awam-swasta.
Bakat MADANI menyasarkan 30,000 peluang kerja baharu bersama sektor swasta. Bank menawarkan kredit yang lebih adil, dan syarikat platform berkongsi kos melindungi pekerja mereka. Semua ini jelas menunjukkan seluruh negara sedang bergerak bersama.
Keyakinan yang terbina ini memang tidak boleh dinafikan. Pelaburan yang diluluskan mencapai RM218.5 bilion dalam enam bulan pertama tahun ini, rekod tertinggi untuk tahun keempat berturut-turut, dan Malaysia melonjak ke tangga ke-15 dunia dari segi daya saing.
Tetapi setiap projek mesti dinilai berdasarkan jumlah pekerjaan mahir yang diwujudkan, tahap gaji yang dibayar, dan sejauh mana syarikat tempatan ikut sama maju. Keyakinan ini sudah pun mula sampai ke poket pekerja: gaji median sektor pembuatan naik daripada RM3,200 pada 2023 kepada RM3,422 pada 2025.
Kerajaan yang prihatin
Kalau dilihat secara keseluruhan, semua langkah ini menunjukkan sesuatu yang jarang kita jumpa: kerajaan yang bukan sekadar mengira duit yang masuk, tapi betul-betul mengambil berat tentang kehidupan rakyat yang patut merasai manfaat setiap ringgit itu.
Dalam dunia yang semakin tidak menentu, inilah kepimpinan yang Malaysia perlukan. Keyakinan pelabur mesti sampai kepada rakyat: melalui gaji mereka, di meja makan mereka, dan bait-bait impian rakyat.
Itulah ukuran sebenar Belanjawan MADANI ini, dan itulah yang wajar diperjuangkan bersama-sama.
-- BERNAMA
Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
- Q: Apakah jumlah Belanjawan MADANI 2027 dan sasaran defisit fiskal?
A: Jumlah Belanjawan MADANI 2027 ialah RM510 bilion, dengan sasaran defisit fiskal pada 3.3% berbanding 5.5% pada tahun 2022. - Q: Apakah perubahan utama dalam gaji minimum dan siapa yang akan mendapat manfaat?
A: Gaji minimum dinaikkan daripada RM1,700 kepada RM2,000 sebulan mulai Jun 2027, memberi manfaat kepada lebih empat juta pekerja. Gaji minimum RM2,500 juga diperkenalkan untuk graduan dan pekerja separa mahir. - Q: Apakah bantuan tunai yang disediakan dalam belanjawan ini dan siapa penerimanya?
A: Bantuan tunai STR dan SARA dinaikkan kepada RM16 bilion, dengan sehingga sembilan juta penerima STR bakal mendapat bantuan SARA sehingga RM1,800 setahun. Kira-kira 13 juta rakyat dewasa, termasuk golongan M40, akan menerima bayaran RM100 dua kali pada tahun 2027. - Q: Apakah langkah yang diambil untuk membantu golongan pertengahan dan pembayar cukai?
A: Pelepasan cukai individu dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000, dan cukai pendapatan bagi pendapatan bercukai RM70,000 hingga RM150,000 diturunkan satu mata peratusan. Lima juta pembayar cukai boleh jimat sehingga RM1,600 setahun. - Q: Apakah inisiatif untuk pekerja gig, pemilikan rumah, dan pendidikan dalam Belanjawan MADANI 2027?
A: Majlis Perundingan Gig akan menetapkan standard pendapatan minimum dan perlindungan sosial, kerajaan memperuntukkan hampir RM1 bilion untuk rumah mampu milik, dan lebih 9,000 doktor kontrak ditawarkan jawatan tetap pada 2027. Bantuan Awal Persekolahan juga dinaikkan kepada RM200 untuk setiap murid.