Ringkasan AI
- Kerja-kerja pembaikan menara penghantaran elektrik di Pantai Timur Sabah sedang giat dijalankan dan dijangka siap dalam enam hari.
- Kejadian menara tumbang akibat bencana alam menjejaskan 153,599 pengguna, namun bekalan elektrik sementara sedang digunakan di kawasan terjejas.
- Kerajaan negeri meluluskan hampir 3,000MW kapasiti tenaga baharu, dengan lebih 1,000MW dijangka siap dalam dua tahun akan datang.
KOTA KINABALU: Usaha pemulihan bekalan elektrik di kawasan Pantai Timur Sabah terus dipergiat dengan kerja-kerja pembaikan menara penghantaran sedang dilaksanakan bagi memastikan bekalan kembali pulih sepenuhnya, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.
"Saya telah diberikan taklimat dan makluman oleh pihak Sabah Electricity dan mereka sekarang bertungkus lumus untuk menyelesaikan masalah ini dan menyambung semula tenaga ke Pantai Timur seperti biasa. Menara itu dijangka siap dalam masa enam hari.
"Jadi, sekarang mereka menggunakan simpanan (reserve) yang lain dan saya dimaklumkan keadaan bertambah baik, mungkin ada sedikit-sedikit sana yang kekurangan bekalan tetapi pihak Sabah Electricity akan cuba menyelesaikan sebaik mungkin untuk rakyat kita di Pantai Timur," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Konvokesyen Universiti Malaysia Sabah (UMS) ke-28, di sini.
Sementara itu, Ketua Menteri berkata kerajaan negeri amat berdukacita atas kesulitan dihadapi penduduk di Pantai Timur Sabah susulan gangguan elektrik disebabkan oleh kejadian menara penghantaran tumbang itu.
Beliau menjelaskan kejadian tersebut berpunca daripada bencana alam dan bukannya disengajakan.
"Percayalah, kita sedaya upaya akan mengusahakan untuk memberikan bekalan tenaga seperti biasa. Sekarang, semua generator set (generator sementara) di sebelah Pantai Timur digunakan.
"Jadi, mereka (pengguna) sudah dapat bekalan elektrik. Bukan semua tidak dapat. Mungkin ada sesetengah tempat saja yang tidak dapat. Saya berharap rakyat faham dan insya-Allah, kita akan selesaikannya,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Hajiji berkata kerajaan negeri telah meluluskan hampir 3,000 megawatt (MW) kapasiti penjanaan tenaga baharu termasuk hidro mini, solar dan turbin angin sebagai sebahagian daripada perancangan jangka panjang memperkukuh sektor tenaga di Sabah.
Beliau berkata lebih 1,000MW kapasiti tenaga baharu dijangka siap dalam tempoh dua tahun akan datang, manakala baki kapasiti selebihnya akan disiapkan secara berperingkat menjelang 2030.
Menara penghantaran elektrik T313 yang terletak di tebing Sungai Liwagu, Kampung Sagindai Lama, Jalan Ranau-Telupid tumbang susulan hakisan tapak asas akibat hujan berterusan dan arus deras banjir Sungai Liwagu.
Kejadian itu menjejaskan 153,599 pengguna berdaftar. Sabah Electricity menyasarkan memulihkan bekalan elektrik itu pada 2 Dis ini atau lebih awal.
Orang ramai boleh mengikuti perkembangan terkini menerusi laman Facebook rasmi Sabah Electricity Careline atau menghubungi talian 15444, 088-515000 serta WhatsApp 019-8525427.
-- BERNAMA