Skip to main content

Malaysia

APM gabung aset rakan strategik perkukuh operasi hadapi MTL

Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan menggabungkan aset miliknya dengan aset rakan strategik, termasuk Pasukan Bantuan Pertahanan Awam (CDA) dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi memperkukuh operasi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL). - Gambar fail
Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan menggabungkan aset miliknya dengan aset rakan strategik, termasuk Pasukan Bantuan Pertahanan Awam (CDA) dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi memperkukuh operasi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL). - Gambar fail

Ringkasan AI

  • APM akan menggabungkan aset dengan rakan strategik seperti CDA dan NGO bagi memperkukuh operasi menghadapi Monsun Timur Laut.
  • Seramai 12,927 pegawai dan anggota serta lebih 2,000 aset darat, air dan dron telah disiap siaga untuk operasi di seluruh negara.
  • Operasi memberi tumpuan kepada kawasan berisiko tinggi dan melibatkan kerjasama pelbagai agensi bagi memastikan bantuan kecemasan lebih pantas.
Advertisement

KAJANG: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan menggabungkan aset miliknya dengan aset rakan strategik, termasuk Pasukan Bantuan Pertahanan Awam (CDA) dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi memperkukuh operasi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL).

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) APM Ghazali Abd Rahman berkata pendekatan itu membolehkan semua pihak bergerak sebagai satu pasukan bagi memastikan operasi menyelamat dan bantuan kemanusiaan dilaksanakan dengan lebih teratur.

“Apabila kami menggerakkan pasukan bersama rakan strategik, aset yang mereka miliki akan digabungkan dengan aset APM supaya kami dapat bergerak sebagai satu pasukan,” katanya selepas Himpunan SIAGA360 APM Sempena Persediaan Menghadapi MTL 2026/2027 di sini hari ini.

Advertisement

Beliau berkata lebih 300 peserta termasuk wakil CDA dan NGO menyertai Latihan Simulasi Tabletop Exercise (TTX) Ex-KUDRAT di Ibu Pejabat Pertahanan Awam (IPPA) Sungai Merab bagi menguji kecekapan membuat keputusan dan mengenal pasti kekangan operasi di lapangan.

Ghazali berkata APM telah menyiapkan 12,927 pegawai dan anggota untuk digerakkan di seluruh negara sepanjang MTL, selain memastikan 1,017 aset darat, 994 aset air dan 27 dron pemantauan udara berada dalam keadaan siap siaga.

Advertisement

Operasi akan memberi tumpuan kepada kawasan berisiko tinggi berhampiran penempatan penduduk, khususnya golongan rentan bagi memastikan bantuan kecemasan dapat disalurkan dengan lebih pantas.

Beliau berkata penyelarasan turut melibatkan Agensi Pengurusan Bencana Negara, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Kesihatan serta Jabatan Pengairan dan Saliran. 

APM turut memperkasakan Pusat Kawalan Operasi yang beroperasi 24 jam dan mewujudkan Pasukan Respons Bencana Sokongan yang boleh digerakkan merentasi negeri sekiranya berlaku banjir besar.

Dalam pada itu, Ghazali mengingatkan penduduk supaya sentiasa peka terhadap keadaan cuaca tidak menentu dan segera berpindah apabila diarahkan, termasuk mereka yang tinggal di kawasan kurang berisiko banjir.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video

Advertisement