KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari hari ini mengumumkan Pembangunan Lestari Sungai Klang akan diwujudkan bermula tahun 2022.

Jelasnya, 600 ekar tanah Kerajaan Negeri telah dikenalpasti sepanjang 56 kilometer jajaran Sungai Klang yang akan dibangunkan 26,000 unit kediaman dalam tempoh lapan hingga 10 tahun akan datang.

"Impian sekian lama membangunkan Sungai Klang kini menjadi kenyataan dengan satu lagi projek ekonomi berimpak tinggi yang akan bermula pada tahun 2022.

"Untuk tahun 2022, Landasan Lumayan Sdn Bhd melalui syarikat bersekutunya iaitu Landasan Lumayan Berjaya Sdn Bhd akan melancarkan pembinaan 2,000 unit kediaman mampu milik dan 1,400 unit kediaman harga bebas dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM1.0 bilion," jelas Amirudin dalam pembentangan Rang Undang-Undang Perbekalan Belanjawan Selangor 2022 pada Jumaat.

BACA: Belanjawan Selangor 2022 bernilai lebih RM2.34 bilion - MB

Pembangunan lestari itu jelasnya turut akan menitikberatkan faktor kebolehidupan dan keselesaan rakyat kategori B40 dan M40.

"Konsep baru kediaman mampu milik akan diperkenalkan berkeluasan 900 kaki persegi dengan 3 plus 2
buah bilik serta empat bilik air lengkap dengan ciri dual-key concept.

"Pemilik kediaman boleh menyewakan sebahagian bilik yang tidak digunakan untuk menjana pendapatan tambahan.

"Menjelang tahun 2030, pesisir Sungai Klang bakal menyaksikan pembangunan 26,000 unit kediaman akan disiapkan. Daripada jumlah itu, 50% atau 13,000 unit adalah melibatkan pembangunan kediaman mampu milik," jelas lagi.