KUALA LUMPUR: Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari mengumumkan peruntukan Ahli-ahli Dewan Negeri pihak pembangkang dinaikkan sehingga RM400,000 bagi tahun 2022.

Perkara itu diumumkan ketika membentangkan Rang Undang Undang Perbekalan Belanjawan Selangor 2022 hari ini.

"Bagi tahun hadapan, saya ingin memaklumkan Dewan yang mulia ini bahawa kawasan kerajaan dan pembangkang akan diberi peruntukan yang saksama.

"Dengan mengambil semangat Kita Selangor ini, peruntukan Ahli-ahli Dewan Negeri pihak pembangkang akan dinaikkan sehingga RM400,000 bagi tahun 2022 berbanding RM150,000 pada ketika ini.

"Manakala itu, pentadbiran ini dimaklumkan bahawa sejumlah RM400,000 turut akan disalurkan kepada mereka oleh Kerajaan Persekutuan melalui Unit Penyelarasan Persekutuan (ICU JPM)," jelasnya.

Justeru, ia menjadikan jumlah peruntukan diterima Ahli-ahli Dewan Negeri Pembangkang berjumlah RM800,000 iaitu setara dengan peruntukan diterima Ahli Dewan Negeri Kerajaan.

Manakala Ahli-Ahli Dewan Negeri Bebas yang menyokong Kerajaan Negeri turut dinaikkan peruntukan sehingga RM500,000 pada tahun hadapan.

"Manakala, untuk Ahli-ahli Dewan Negeri bebas yang menyokong Kerajaan Negeri akan menerima peningkatan peruntukan sehingga RM500,000 pada tahun 2022.

"Baki peruntukan akan diselaraskan oleh Penyelaras yang dilantik oleh Kerajaan Negeri," jelasnya lagi.

BACA: Belanjawan Selangor 2022 bernilai lebih RM2.34 bilion - MB

Ujar Amirudin keputusan itu dibuat selari dengan konsep Iltizam Selangor Penyayang di mana rakyat adalah keutamaan tidak mengira pandangan politik dan sesuai dengan peranan Selangor sebagai negeri contoh di Malaysia.

Dalam pada itu, turut diumumkan peruntukan tambahan kepada Ahli-ahli Parlimen Pembangkang di negeri itu.

"Memandangkan Ahli-ahli Parlimen pembangkang di peringkat Persekutuan masing-masing akan menerima peruntukan kawasan dari Kerajaan Persekutuan mulai tahun hadapan, Kerajaan Negeri kini akan menyalurkan RM50,000 tambahan bagi tujuan pengurusan pejabat.

"Perubahan dasar ini diharapkan dimanfaatkan sepenuhnya bagi kebaikan rakyat serta memastikan setiap sen dibelanjakan dengan berhemah dan penuh integriti," jelas Menteri Besar itu.