KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka mengumumkan kadar dividen bagi tahun kewangan 2025 pada jam 11 pagi ini, yang menjadi tumpuan lebih 16 juta ahlinya di seluruh negara.
Pengumuman itu akan dibuat dalam satu sidang media rasmi di ibu pejabat KWSP di Kwasa Damansara dan dijangka memberikan gambaran prestasi pelaburan dana persaraan terbesar negara itu sepanjang tahun lalu, di tengah ketidaktentuan ekonomi global dan turun naik pasaran kewangan.
Advertisement
Kadar dividen KWSP sentiasa menjadi indikator penting kepada keyakinan pasaran serta kesejahteraan simpanan persaraan rakyat, khususnya selepas beberapa tahun berdepan cabaran ekonomi susulan pandemik dan tekanan inflasi.
Bagi tahun kewangan 2024, KWSP mengumumkan dividen 6.3 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 6.3 peratus bagi Simpanan Shariah, dengan jumlah agihan melebihi RM73.24 bilion, sekali gus memberi pulangan kompetitif kepada pencarum.
Pengumuman hari ini dijangka memberikan petunjuk sama ada KWSP mampu mengekalkan momentum prestasi tersebut, dengan para pencarum menantikan kadar dividen yang berupaya memperkukuh simpanan persaraan mereka dalam jangka panjang.
Astro AWANI akan membawakan siaran langsung berhubung pengumuman kadar dividen KWSP di semua platform kami.