Skip to main content

Sukan

EPL: Carrick terus diasak, Manchester United diaib Bournemouth 0-3

Aksi pemain Bournemouth Evanilson menjaringkan gol ketiga ketika perlawanan EPL antara Manchester United dan Bournemouth di Old Trafford, Manchester, Britain, 25 Okt 2026. REUTERS
Aksi pemain Bournemouth Evanilson menjaringkan gol ketiga ketika perlawanan EPL antara Manchester United dan Bournemouth di Old Trafford, Manchester, Britain, 25 Okt 2026. REUTERS

Advertisement

MANCHESTER: Tekanan terhadap pengurus Manchester United, Michael Carrick semakin memuncak selepas pasukannya dimalukan Bournemouth 0-3 di Old Trafford dalam aksi Liga Perdana Inggeris pada Ahad.

Keputusan mengejutkan Carrick menggugurkan kapten pasukan, Bruno Fernandes, daripada kesebelasan utama gagal memberikan impak positif apabila United sekali lagi mempamerkan aksi hambar di hadapan penyokong sendiri.

Fernandes direhatkan selepas dilaporkan mengkritik pendekatan taktikal Carrick susulan kekalahan 1-4 kepada kelab Itali, Como dalam saingan Liga Juara-Juara pertengahan minggu lalu.

Bagaimanapun, Bournemouth memanfaatkan sepenuhnya kelemahan tuan rumah apabila mendahului menerusi jaringan Rayan pada minit ke-38.

Marcus Tavernier kemudian menggandakan kelebihan pelawat sebelum tamat separuh masa pertama, manakala Evanilson melengkapkan kemenangan bergaya Bournemouth menerusi gol ketiga pada babak kedua.

Jaringan itu menyaksikan sebahagian penyokong United meninggalkan stadium lebih awal ketika pasukan mereka gagal menunjukkan sebarang tanda mampu bangkit.

Wisel penamat disambut dengan laungan cemuhan daripada penyokong yang semakin hilang sabar terhadap prestasi semasa pasukan.

Kekalahan itu menyebabkan United kekal di tangga ke-16 liga dengan tujuh mata, hanya satu mata di atas zon penyingkiran. Mereka juga masih gagal mencatat kemenangan liga sejak menewaskan Ipswich Town 5-2 pada 30 Ogos lalu.

Bercakap selepas perlawanan, Carrick mengakui kedudukannya kini tidak menentu namun menegaskan komitmennya terhadap kelab tidak pernah berubah.

"Situasi ini sukar dan saya tidak boleh bersembunyi daripadanya. Apa yang akan berlaku selepas ini, saya sendiri tidak pasti.

"Saya akan sentiasa memberikan yang terbaik untuk kelab ini kerana saya cintakan pekerjaan ini dan memahami tanggungjawab yang dipikul," katanya.

Sementara itu, kapten sementara pasukan, Harry Maguire menggesa semua pemain melakukan penilaian diri bagi memperbaiki prestasi mereka.

"Ini kelab yang besar dan setiap hari anda perlu membuktikan mengapa anda layak memakai lencana ini.

"Buat masa ini kami tidak melakukan secukupnya sebagai pemain," katanya. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement