Skip to main content

Malaysia

Tandas awam Little India di Ipoh ke-12,000 dinaik taraf Kerajaan MADANI - Nga

Nga bergambar selepas merasmikan tandas astaka pada sesi lawatan ke Bazaar Deepavali Little India di Ipoh, malam tadi.  -- fotoBERNAMA
Nga bergambar selepas merasmikan tandas astaka pada sesi lawatan ke Bazaar Deepavali Little India di Ipoh, malam tadi. -- fotoBERNAMA

Advertisement

IPOH: Pembinaan tandas awam baharu di Little India di sini, merupakan tandas awam ke-12,000 yang berjaya dinaik taraf di bawah inisiatif Kerajaan MADANI, sekali gus melengkapkan kemudahan prasarana asas di kawasan tumpuan pelancong itu.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata projek tandas awam bertaraf bersih, menawan dan wangi (BMW) bernilai RM200,000 itu, berjaya menamatkan penantian lebih tujuh dekad warga peniaga dan masyarakat setempat berikutan ketiadaan kemudahan berkenaan sejak hampir 100 tahun kewujudan kawasan itu.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kepayang turut mengumumkan peruntukan sumbangan sebanyak RM20,000 kepada Persatuan Peniaga-Peniaga Little India Ipoh, sebagai tanda sokongan kerajaan dalam menggiatkan persiapan serta menceriakan kawasan tersebut sempena sambutan Deepavali.

“Sangat istimewa, ia merupakan tandas awam ke-12,000 yang telah berjaya dinaik taraf di bawah Kerajaan MADANI. Tak pernah ada kerajaan pernah bina dan naik taraf 12,000 tandas awam,” katanya pada sidang media ketika mengadakan tinjauan mesra Bazaar Deepavali dan perasmian Tandas Astaka Little India di sini malam tadi.

Nga berkata kemudahan tandas itu siap tepat pada masanya, bagi menampung keselesaan pengunjung bersempena dengan penganjuran persembahan kebudayaan dan muzik selama empat malam berturut-turut, bermula 3 hingga 6 Nov ini.

Sementara itu, beliau berkata berikutan kejayaan pemerkasaan 1,530 tandas awam di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) setakat ini, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan memperluas penyertaan institusi pengajian tinggi (IPT), dalam Anugerah Tandas Terbaik Malaysia pada edisi akan datang.

Dalam pada itu, Nga memaklumkan konsep tandas pintar bertaraf enam bintang iaitu BMW Intelligent (BMW-i), juga bakal dilancarkan di beberapa kawasan strategik seperti Bukit Bintang, Kuala Lumpur dan Floria Putrajaya, susulan kejayaan pelaksanaan projek perintis pertamanya di Dataran Putra, Putrajaya.

Sebelum ini, KPKT menyasarkan setiap ibu negeri di seluruh negara memiliki sekurang-kurangnya sebuah tandas pintar BMW-i, sebagai penanda aras baharu kemudahan tandas awam, dengan kos pembinaan tidak melebihi RM1 juta sebuah.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement