Berita Terkini ASEAN25: 1,711 produk eksport Malaysia ke AS akan nikmati tarif lebih rendah - Tengku Zafrul

Tengku Zafrul bercakap pada sidang media mengenai Perjanjian Perdagangan Timbal Balas Malaysia-AS di KLCC, 26 Okt 2025. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Sehingga 1,711 produk eksport Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) akan menikmati kadar tarif yang lebih rendah daripada 19 peratus di bawah Perjanjian Perdagangan Timbal Balas yang ditandatangani antara Malaysia dan AS semalam, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.
Beliau berkata senarai itu termasuk minyak sawit, getah, koko serta beberapa komponen farmaseutikal dan peralatan aeroangkasa.
"Eksport ini secara keseluruhannya berjumlah kira-kira AS$5.2 bilion (AS$1 = RM4.221) daripada jumlah eksport kita ke AS, iaitu sebanyak 12 peratus daripada jumlah eksport kita," katanya pada sidang media di sini semalam.
Tengku Zafrul berkata kadar tarif yang lebih rendah itu akan berkuat kuasa dalam tempoh 60 hari selepas kedua-dua negara bertukar dokumen sebagai sebahagian daripada proses perundangan.
Menurut Kuala Lumpur dan Washington dalam pernyataan bersama semalam, AS telah mengenal pasti produk daripada senarai dalam Lampiran III Perintah Eksekutif 14346 bertarikh 5 Sept 2025, mengenai Potential Tariff Adjustments for Aligned Partners untuk mendapat kadar tarif timbal balas sifar peratus.
Katanya AS komited untuk mengekalkan tarif timbal balas sebanyak 19 peratus kali pertama digariskan dalam Perintah Eksekutif 14257 bertarikh 2 April 2025, yang telah dipinda, ke atas barangan dari Malaysia.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


