KUALA LUMPUR: AmInvestment Bank Research menyemak turun penarafan bagi sektor pelaburan amanah hartanah (REIT) kepada 'neutral' berbanding 'overweight' ekoran kebimbangannya terhadap pemulihan segmen hotel dan runcit pada suku akan datang disebabkan gelombang baharu Omicron.

Menurut firma itu, kemunculan gelombang baharu dengan kes Omicron yang lebih tinggi di dalam negara, mungkin memperlahankan kedatangan pengunjung dan pemulihan pelancongan domestik.

Faktor lain yang turut mempengaruhi sektor tersebut, termasuklah, pengembalian kadar sewa yang sedikit negatif kerana beberapa penyewa masih memerlukan bantuan dalam tempoh terdekat dan pemulihan yang lebih perlahan dalam kadar penghunian bagi segmen hotel disebabkan kenaikan kes COVID-19.

"Kami juga mendapati, sebaran hasil yang semakin menurun antara REIT di bawah liputan kami dan Sekuriti Kerajaan Malaysia (MGS) 10 tahun.

"Oleh itu, penilaian kami ini adalah berdasarkan kepada REIT di bawah liputan kami dengan sasaran hasil sebanyak 5% berbanding pendapatan pengagihan bagi tahun kewangan 2023 (FY23," katanya dalam nota kajian hari ini.

Berdasarkan 4 syarikat REIT di bawah liputan firma ini, satu daripadanya memenuhi jangkaan manakala 2 lagi melepasi jangkaan.

Hanya YTL Hospitality REIT akan mengeluarkan laporan suku kedua bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2021 (Q2FY22) bulan ini.

Pendapatan pengagihan FY21 IGB REIT sebanyak RM399.5 juta adalah dalam jangkaannya, menyumbang 99% daripada anggaran setahun penuh.

Pendapatan Pavilion REIT dan Sunway REIT pula melebihi jangkaan, dengan masing-masing menyumbang 107% dan 119% daripada anggaran tahun penuh yang dibuat firma tersebut.

Dalam pada itu, AmInvestment berpendapat, bantuan sewa akan berterusan pada tahun ini tetapi pada kuantum yang lebih rendah daripada 2021, dengan mengandaikan tiada sekatan penuh pada 2022.

"Penyewa tertentu, terutama mereka yang menjalankan perniagaan berkaitan perjalanan, masih memerlukan rebat sewa dalam tempoh terdekat," tambahnya.

Firma ini juga menjangkakan prospek yang tidak menentu dalam tempoh terdekat bagi segmen hospitaliti ekoran lonjakan jangkitan COVID-19 yang boleh menjejaskan aktiviti pelancongan domestik.

Secara keseluruhan, ia meletakkan Sunway REIT sebagai pilihan utama bagi saham berkaitan sektor itu dengan saranan 'beli' dan nilai wajar pada RM1.66 sesaham.

"Ini disokong portfolio pelaburannya yang pelbagai terdiri daripada kedai di pusat beli-belah, hotel, pejabat, universiti dan hospital di seluruh negara.

"Sunway REIT juga menunjukkan kadar penghunian yang tinggi melebihi 90% bagi pusat beli-belah dan pendapatan sewa yang menguntungkan daripada segmen perindustrian dan perkhidmatan," jelasnya. - DagangNews.com