Bison Consolidated Berhad disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada Selasa.

Saham Bison mendapat permintaan yang kukuh apabila 15.50 juta saham baru disediakan dengan lebihan langganan sebanyak 6.94 kali.

Ia mula diniagakan pada diskaun satu sen pada RM1.09 sen dengan 2.2 juta saham dan kemudian diniagakan lebih tinggi pada RM1.11.

Penyenaraian saham Bison menyumbang RM88.68 juta kepada kumpulan berdasarkan harga runcit RM1.10 sesaham.

RM35.55 juta atau 40.1 peratus hasil senaraian akan digunakan untuk tujuan pembesaran cawangan dan meningkatkan bilangan kedai sedia ada.

Dang Tai Luk mengetuk gong menandakan secara rasminya Bison diseneraikan di Bursa Malaysia. - Foto Astro AWANI

RM14.45 juta atau 16.3 peratus akan digunakan untuk menambah baik teknologi maklumat dan logistik syarikat di seluruh negara bagi menyokong pertumbuhan.

Pengarah Urusan Bison, Dang Tai Luk berkata, dana yang diamanahkan kepadanya akan digunakan dengan sebaik mungkin bagi memastikan rancangan masa depan dapat dicapai.

“Kami yakin dapat membawa perniagaan kami ke hadapan. RM80 juta ini adalah modal saham kami. Saya percaya pelabur yakin dengan rekod prestasi syarikat dan asas yang kukuh.

"Setelah kejayaan penyenaraian hari ini, kami memperuntukkan RM50 juta daripada hasil tawaran awam awal kami untuk perbelanjaan modal manakala kira-kira RM35.55 juta akan digunakan untuk memperluaskan cawangan rangkaian kami," katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyenaraian di sini, hari ini.

Menurut beliau, baki RM14.45 juta akan digunakan untuk menambah baik teknologi maklumat dan logistik syarikat di seluruh negara bagi menyokong pertumbuhan.

"Kami akan membuka secara purata 70 cawangan baharu setahun bagi mencapai sasaran 115 menjelang 31 Okt, 2017," katanya.

Bison antara lain merancang untuk menambah pusat pengedaran, penyediaan makanan dan kemudahan pembungkusan dan mendapatkan peralatan pengangkutan tambahan.

Dalam laporan Bernama pula, Dang berkata syarikat turut memperuntukkan RM32.23 juta bagi modal kerja, yang akan digunakan untuk membiayai stok inventori bagi cawangan sedia ada dan baharu serta perbelanjaan lain.

Mengenai lokasi cawangan, beliau berkata fokus semasa syarikat ialah kawasan dengan perniagaan dan penduduk yang padat.

Katanya, seiring dengan rancangan pengembangan yang meluas, tumpuan juga akan diberikan kepada jalan utama, berbanding bangunan komersial seperti pusat membeli-belah, sebagaimana sebelumnya.

Syarikat mempunyai cawangan di seluruh Malaysia, kecuali Kelantan, Terengganu dan Perlis, yang bakal dimasukkan di bawah fasa pengembangan.

Mengenai masa depan, Dang berkata pasaran kedai serbaneka runcit masih mempunyai ruang untuk berkembang memandangkan ia merupakan sub-segmen pasaran barang runcit pantas berkembang di Malaysia, dengan kadar penembusan kekal rendah berbanding negara jiran.

Beliau yakin dengan 19 tahun pengalaman dalam perniagaan, Bison pada kedudukan yang baik dan mampu merebut peluang dalam pasaran.

Bison adalah sebuah syarikat pegangan pelaburan dan melalui anak-anak syarikatnya, ia terlibat dalam perniagaan akhbar dan peruncitan di bawah nama myNEWS.com, Newsplus, MagBit, The Front Page dan WH Smith.