Skip to main content

Malaysia

Mohamad akan lapor penilaian kepada Kabinet, pihak berkuasa Myanmar tunjuk perkembangan positif

Mohamad Hasan
Mohamad berkata demikian dalam sidang media di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di sini selepas mengadakan lawatan kerja sehari di Naypyidaw, Myanmar, hari ini - Foto/Astro AWANI

SHAH ALAM: Datuk Seri Mohamad Hasan akan mengemukakan laporan kepada Kabinet berhubung hasil penilaian dan libat urus bersama pihak berkuasa Myanmar bagi merumuskan pendirian baharu ASEAN terhadap negara itu.

Menteri Luar itu berkata perkara tersebut susulan mandat yang dipersetujui semasa retret ketua-ketua negara ASEAN di Filipina baru-baru ini, yang menugaskan menteri-menteri luar ASEAN melakukan penilaian dan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat masing-masing di Myanmar.

“Semasa mesyuarat peringkat tertinggi ketua-ketua negara ASEAN di Filipina tempoh hari, menteri-menteri luar ditugaskan untuk membuat penilaian dengan rakan sejawat di sana supaya dapat dirumuskan ‘new outlook’ ASEAN terhadap Myanmar.

“Saya akan buat laporan kepada Kabinet mengenai lawatan singkat saya dan pertemuan saya dengan rakan sejawat di Myanmar untuk dirumuskan dan dibincangkan,” katanya.

Mohamad berkata demikian dalam sidang media di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang di sini selepas mengadakan lawatan kerja sehari di Naypyidaw, Myanmar, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau juga memaklumkan akan mengadakan perbincangan secara dalam talian dengan menteri-menteri luar ASEAN lain bagi menyelaras dapatan serta pandangan setiap negara anggota.

Dalam perkembangan sama, Mohamad menyifatkan pertemuan dan perbincangan dengan rakan sejawatnya, Tin Maung Swe, menunjukkan perkembangan yang lebih positif berbanding sebelum ini apabila mereka kini lebih terbuka untuk mendengar pandangan ASEAN.

"Daripada perbincangan saya tadi, mereka tidak seperti tahun lalu atau sebelum ini. Mereka mahu mendengar dan tidak terus melompat apabila kita bercakap tentang pihak sebelah sana (bertentangan),” katanya.

Beliau menambah Malaysia juga menyatakan kesediaan untuk mengadakan libat urus dengan kumpulan yang menentang kerajaan Myanmar sebagai sebahagian daripada usaha mencari penyelesaian lebih menyeluruh terhadap konflik di negara itu.

Sementara itu, Mohamad juga berkata, keputusan sama ada pemimpin Myanmar akan dijemput menghadiri sidang kemuncak ASEAN akan datang bergantung kepada persetujuan semua negara anggota.

Ujarnya, perkara itu akan diputuskan oleh pemimpin-pemimpin ASEAN dan sebarang keputusan perlu mendapat persetujuan bersama negara anggota.

Sehubungan itu, Mohamad menyifatkan ia masih terlalu awal untuk membuat keputusan mengenai perkara tersebut memandangkan ASEAN mahu melihat terlebih dahulu perkembangan dan reaksi positif daripada semua pihak di Myanmar.

Pada 8 Mei lalu, Mohamad dilaporkan berkata ASEAN masih belum bersedia menerima pemimpin Myanmar untuk menghadiri sidang kemuncak dan mesyuarat-mesyuarat rasmi blok itu.

ASEAN melarang pemimpin tertinggi Myanmar daripada menghadiri sidang kemuncaknya sejak tentera menggulingkan pemimpin awam Aung San Suu Kyi dalam rampasan kuasa pada Februari 2021, dan hanya membenarkan wakil bukan politik menghadiri mesyuarat peringkat tinggi.

Must Watch Video

Advertisement