Cabang pemasaran Astro Digital, Blaze Digital mengumumkan kolaborasi bersama syarikat rangkaian digital kanak-kanak, TotallyAwesome dalam usaha mengembangkan capaian ke pasaran digital kanak-kanak.

Berdasarkan penyelidikan oleh TotallyAwesome, satu pertiga pengguna internet terdiri daripada kanak-kanak, sekali gus meningkatkan tahap kesedaran ibu bapa terhadap pendedahan anak mereka.

Kajian sama turut menunjukkan 75 peratus daripadanya memperakui anak mereka pernah terdedah dengan kandungan yang tidak sesuai bagi kanak-kanak.

Bagi membendung masalah ini, pelbagai langkah diambil bagi memastikan kanak-kanak terhindar daripada capaian tidak sewajarnya.

Langkah-langkah sebegini sama sekali dapat dirasai oleh segelintir syarikat pengiklanan kerana gagal menyampaikan mesej kepada masyarakat umum terutama kanak-kanak.

“Blaze menawarkan platform untuk syarikat pengiklanan berinteraksi dan berkomunikasi dengan kanak-kanak melalui platform yang lebih selamat.

"Usaha ini bagi memastikan semua pihak diutamakan,” kata Andy Yap, naib presiden Blaze Digital.

Menurut kajian TotallyAwesome, kanak-kanak lebih cenderung untuk mempengaruhi kuasa beli isi rumah ibu bapa mereka.

Sesetengahnya memperoleh RM205 sebulan sebagai duit belanja, jadi wajarlah syarikat menarik perhatian mereka melalui ruang digital sebagai strategi pemasaran.

Platform iklan AwesomeAds yang relevan dan selamat di bawah naungan TotallyAwesome menggunakan algoritma yang menyasarkan golongan kanak-kanak dan remaja. AwesomeAds ini 100 peratus terkawal dan selamat untuk kanak-kanak.

Sementara itu, CEO TotallyAwesome, Quan Nguyen berkata, “Malaysia merupakan negara yang berpotensi dan kami bertanggungjawab untuk berkolaborasi dengan syarikat penyiar terbesar, Astro dan Blaze Digital bagi mengemukakan platform iklan yang terkawal dan selamat di Malaysia.”

Usaha ini juga menawarkan penggunaan Kidfluencer sebagai strategi pemasaran.

Di Malaysia, pemasaran Kidfluencer mencecah 22 juta pengikut dengan 0.8 bilion tontonan.

Keselamatan dan pematuhan adalah elemen penting bagi Kidfluencer dan setiap kandungan harus diiktiraf oleh SAFEFAM yang merupakan pemantau program keluarga dan kandungan bagi golongan 13 tahun ke bawah.

“Pemasaran digital kepada kanak-kanak merupakan sesuatu yang baharu bagi kami, dan kami berharap agar TotallyAwesome dapat menyampaikan kempen pengiklanan dengan lebih baik dan selamat,” tambah Yap.