KUALA LUMPUR: Syarikat milik Fitch Solutions, BMI telah menyemak naik unjuran jumlah jualan kenderaan di Malaysia bagi tahun 2023, ia meningkat sebanyak 3.8 peratus, berbeza dengan jangkaan penurunan sebanayak 9.0 peratus sebelum ini.

BMI dalam satu kenyataan berkata semakan itu dibuat berikutan permintaan terpendam yang lebih baik daripada jangkaan untuk kenderaan yang dibeli semasa tempoh pengecualian cukai jualan.

"Kami mengambil maklum bahawa sebelum ini, BMI menjangkakan permintaan akan berkurangan pada suku kedua 2023, bagaimanapun data yang dikumpulkan oleh Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menunjukkan bahawa permintaan kekal meningkat sepanjang separuh pertama 2023," katanya.

Pengecualian cukai jualan telah luput pada 30 Jun 2022 dan terdapat tempoh penangguhan pengecualian sehingga 31 Mac 2023 untuk kereta tersebut yang telah ditempah untuk pembelian sebelum tamat tempoh pengecualian cukai jualan.

Pesanan tertunggak diselesaikan susulan gangguan rantaian bekalan, ia bermakna pengeluar kereta tidak dapat memenuhi tempahan, katanya

Menurut MAA, jualan kenderaan meningkat 12.6 peratus tahun ke tahun dalam tujuh bulan pertama 2023 untuk mencapai 429,807 unit berbanding 381,680 unit dalam tempoh yang sama pada 2022.

Selain itu, BMI percaya permintaan untuk kenderaan elektrik (EV) akan jauh melebihi permintaan kereta enjin pembakaran dalaman (ICE) dalam tempoh unjuran 2023-2032.

"Kami ketika ini menjangkakan jumlah jualan EV meningkat empat kali ganda pada 2023 walaupun kadar penembusan EV negara (jualan EV sebagai peratusan daripada jumlah jualan kenderaan) akan berada pada hanya 1.8 peratus.

"Walaupun kadar pertumbuhan bagi pasaran EV Malaysia adalah ketara, kami perhatikan ia ketinggalan berbanding 2022 (+870.8 peratus)," katanya.

Melihat kepada pemacu utama pertumbuhan prospektif Malaysia dalam kadar penggunaan EV, BMI menekankan pelanjutan pengecualian duti import bagi komponen untuk pemasangan tempatan EV, pengecualian duti eksais dan cukai jualan untuk kereta EV pemasangan tempatan (CKD) dipasang secara dan pengecualian duti import serta eksais ke atas model import sepenuhnya (CBU).

Satu lagi pertimbangan penting yang dibuat dalam unjuran EV ialah kehadiran pembuatan EV tempatan daripada Volvo dan Mercedes-Benz, katanya.

"Mercedes-Benz menyatakan ia merancang untuk mempunyai 30 peratus daripada semua kenderaannya yang dijual di Malaysia untuk EV menjelang 2030 kerana Malaysia menawarkan salah satu kadar penembusan EV tertinggi untuk produknya di seluruh dunia.

"Malaysia juga telah menyaksikan sejumlah besar pembuat kereta memasuki pasaran yang memberi pengguna lebih banyak pilihan," katanya.

BMI berkata pembuat kereta EV China, BYD (pembuat EV terbesar di dunia) telah memasuki pasaran Malaysia yang menawarkan pilihan EV mampu milik seperti model Dolphin dan model SUV Atto 3 yang popular.

Selain itu, EV komersil juga semakin meningkat dengan kemasukan trak berat komersial Volvo, katanya.

"Menerusi pengangkutan darat sebagai mod pengangkutan barangan yang dominan di negara ini, trak berat elektrik akan menjadi tumpuan terutamanya apabila syarikat melihat untuk meneliti rantaian bekalan mereka untuk pengurangan pelepasan karbon," katanya.

-- BERNAMA