Ringkasan AI
- Persidangan Bandaraya Dialog Asia Tenggara Ke-3 akan diadakan di Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Oktober untuk membincangkan cabaran bandar raya serantau.
- Isu utama termasuk perubahan iklim, tekanan alam sekitar dan perkembangan kecerdasan buatan akan dibincangkan bersama wakil bandar, pemimpin agama, belia dan masyarakat sivil.
- Persidangan ini bertujuan menghasilkan cadangan tindakan bersama yang boleh dilaksanakan atau dikembangkan melalui rangkaian komuniti peserta.
KUALA LUMPUR: Perubahan iklim, tekanan alam sekitar dan perkembangan kecerdasan buatan (AI) menjadi antara cabaran utama bandar raya Asia Tenggara yang bakal dibincangkan dalam satu persidangan antarabangsa di ibu negara hujung bulan ini.
Persidangan Bandaraya Dialog Asia Tenggara Ke-3 pada 26 hingga 28 Oktober itu bakal menghimpunkan wakil bandar raya, pemimpin agama, belia, wanita dan masyarakat sivil bagi mencari pendekatan bersama menangani cabaran berkenaan.
Pemangku Setiausaha Agung Pusat Dialog Antarabangsa (KAICIID), Duta António de Almeida Ribeiro berkata, cabaran bandar tidak mengenal perbezaan agama atau budaya, namun kesannya dirasai secara berbeza oleh setiap komuniti.
“Ukuran sebenar kejayaan persidangan ini terletak pada kerjasama dan tindakan praktikal yang dilaksanakan merentasi budaya, agama dan sektor demi mencapai masa depan bersama,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan hari ini.
Menurut beliau, dialog merentasi latar belakang masyarakat penting bagi membina persefahaman terhadap realiti kehidupan berbeza, sekali gus menggalakkan penyelesaian yang lebih menyeluruh.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Allied Coordinating Council of Islamic NGOs (ACCIN), Ir. Mohd Jamaludin Shamsudin berkata, kekuatan sesebuah bandar bukan hanya terletak pada pembangunan fizikal atau teknologi, sebaliknya masyarakat yang mendiaminya.
Beliau berkata, perkembangan AI dan transformasi digital turut membawa kesan berbeza kepada komuniti bandar, menjadikan kerjasama antara agama dan budaya semakin penting.
Persidangan anjuran KAICIID dengan kerjasama ACCIN itu akan berlangsung di Sheraton Imperial Kuala Lumpur Hotel, menerusi sesi perkongsian pengalaman, bengkel dan perbincangan penyelesaian.
Antara sasaran utama persidangan adalah menghasilkan cadangan tindakan bersama menjelang 28 Oktober untuk dilaksanakan atau dikembangkan melalui bandar raya dan rangkaian komuniti peserta.
Kuala Lumpur menjadi tuan rumah edisi ketiga selepas Bangkok, Thailand pada 2023 dan Davao, Filipina pada 2024, sekali gus meneruskan usaha memperkukuh daya tahan bandar raya di Asia Tenggara.