KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) akan memberi keutamaan untuk terus membina sistem kewangan Islam berasaskan kekukuhan ekosistem kewangan Islam di Malaysia bagi meningkatkan sumbangannya kepada semua pihak berkepentingan.

Di samping meneruskan inisiatif yang sedang dilaksanakan pada masa ini, bank pusat berkata ia akan memberikan tumpuan pada memodenkan penggunaan kontrak Syariah untuk menggalakkan inovasi yang memberi impak, merintis lebih banyak penyelesaian berasaskan nilai; dan memperkukuh pendorong ekosistem bagi memajukan perkembangan kewangan Islam.

"Pada tahun 2022, bank memberikan tumpuan pada usaha memperkukuh peranan kewangan Islam dalam usaha menyokong pemulihan ekonomi yang mampan.

"Bank bekerjasama rapat dengan industri untuk memajukan kewangan berasaskan nilai bagi memberikan kesan yang lebih besar kepada ekonomi, komuniti dan alam sekitar," kata BNM di dalam Laporan Tahunan 2022 yang dikeluarkan hari ini.

Bank Pusat itu juga berkata ia mempertingkat usaha untuk mengekalkan kepimpinan Malaysia dalam kewangan Islam pada peringkat global. Usaha ini diselaraskan dengan keutamaan pembangunan kewangan Islam seperti yang digariskan dalam Pelan Sektor Kewangan 2022- 2026.

Industri perbankan Islam dan takaful terus mengekalkan pertumbuhannya pada tahun 2022, memperoleh bahagian pasaran yang lebih besar daripada keseluruhan sistem kewangan pada 44.5 peratus bagi pembiayaan Islam.

Ia mencatatkan pertumbuhan tahunan sebanyak 10.8 peratus yang bernilai RM974.1 billion, yang membolehkan industri perbankan Islam memberikan sokongan yang mantap kepada keperluan pembiayaan perniagaan termasuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS), serta isi rumah.

Perlindungan kewangan yang lebih meluas juga diberikan kepada pelbagai komuniti, kata BNM.

Katanya, penggunaan penyelesaian kewangan Islam oleh syarikat yang diperakui halal telah meningkat hampir dua kali lebih tinggi pada tahun 2021 iaity 41.3 peratus berbanding tahun 2018 pada 21.9 peratus.

BNM berkata usaha ini termasuk penawaran penyelesaian perniagaan yang disesuaikan, penggalakan kerjasama rapat antara agensi kerajaan berkaitan halal seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Perbadanan Pembangunan Halal, serta penganjuran program libat urus dan kesedaran berterusan sepanjang tahun.

Pada bulan Mac 2022, Bank melancarkan Kadar Semalaman Islam Malaysia (MYOR-i) bagi menggantikan Kadar Rujukan Islam Kuala Lumpur (Kuala Lumpur Islamic Reference Rate). MYOR-i ialah kadar penanda aras berasaskan transaksi Islam pertama di dunia yang mematuhi Principles for Financial Benchmarks.

Sejak Kertas Strategi mengenai Pengantaraan Berasaskan Nilai (VBI) diperkenalkan pada tahun 2017, industri kewangan Islam telah mengantara sejumlah RM302.2 bilion dalam inisiatif yang selaras dengan VBI.

BNM berkata aktiviti kewangan berasaskan nilai didorong oleh pertimbangan berhubung dengan sumbangan dan impaknya kepada pihak berkepentingan yang lebih meluas. Hal ini termasuk menyokong agenda iklim dan kelestarian.

Bank pusat berkata ia sedang berbincang dan berinteraksi dengan pemohon lesen bank digital yang berjaya untuk memastikan mereka bersedia secara operasi untuk memulakan perniagaan berlesen ini.

Daripada lima pemohon bank digital yang berjaya yang diumumkan pada bulan April 2022, dua pemohon akan dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013.

"Hal ini merupakan sebahagian daripada usaha bank untuk memperluas akses yang lebih baik, dan menggalakkan penggunaan yang bertanggungjawab terhadap penyelesaian kewangan yang bersesuaian, kepada segmen yang tiada atau kurang mendapat perkhidmatan kewangan," katanya.

-- BERNAMA