KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) akan terus memanfaatkan libat urus antarabangsa untuk saling berkongsi idea dan menyokong usaha kolektif dalam menangani cabaran dasar pada peringkat serantau dan global.

Dalam Laporan Tahunan 2021 yang dikeluarkan hari ini, bank pusat berkata melangkaui cabaran jangka pendek, BNM terus komited untuk memastikan integrasi kewangan serantau yang lebih mendalam, serta memperteguh kerjasama antarabangsa dalam perubahan iklim, ekonomi digital dan rangkuman kewangan.

"Ancaman varian baharu merupakan peringatan bahawa pandemik masih belum berakhir. Prospek ekonomi global yang tidak sekata, tekanan inflasi yang semakin meningkat, serta ketidakpastian keadaan kewangan global akan terus menjadi cabaran kepada dasar pada tahun 2022," menurut BNM.

Pandemik COVID-19 terus mempengaruhi cara libat urus Bank pada peringkat antarabangsa pada tahun 2021.

Perbincangan dasar beralih daripada tumpuan jangka pendek tentang langkah-langkah bantuan segera dan kesan sekatan pergerakan, kepada masa dan cara yang terbaik untuk menamatkan sokongan dasar.

Selain itu, perbincangan juga tertumpu pada dasar struktur jangka sederhana hingga jangka panjang bagi memantapkan kedudukan ekonomi pada landasan pemulihan yang lebih kukuh, berdaya tahan dan mampan.

Pada tahun 2021, BNM aktif menyertai pelbagai dialog dasar pada peringkat antarabangsa dan serantau. Antaranya, libat urus dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (International Monetary Fund, IMF), Bank for International Settlements (BIS), Executives' Meeting of East Asia-Pacific Central Banks (EMEAP), Association of Southeast Asian Nations (ASEAN) dan ASEAN+3, iaitu RR China, Jepun dan Korea.

Selain itu, BNM terus memperkukuh daya tahan bagi menghadapi potensi kejutan luaran dengan meningkatkan jaringan keselamatan kewangan luaran Bank.

BNM telah memperbaharui pengaturan swap mata wang dua hala dengan People's Bank of China (PBOC) pada tahun 2021 berjumlah RM110 bilion untuk tempoh lima tahun.

-- BERNAMA