DUBAI: Bank Negara Malaysia (BNM) dan Bank Dunia hari ini mengumumkan dua inisiatif utama untuk membolehkan sektor kewangan menyokong hasil positif semula jadi sempena Persidangan ke-28 Pihak-Pihak (COP28) bagi Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC), di sini.

Inisiatif berkenaan akan memudahkan pertimbangan berkaitan dengan alam semula jadi diterapkan ke dalam proses membuat keputusan dan pada masa yang sama menyokong aliran kewangan ke arah penyelesaian berdasarkan alam semula jadi, kata BNM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Ia berikutan cadangan yang digariskan dalam laporan diterbitkan BNM bersama Bank Dunia pada tahun 2022 bertajuk "Penerokaan Risiko Kewangan Berkaitan Alam Semula Jadi di Malaysia".

Gabenor BNM, Datuk Abdul Rasheed Ghaffour berkata perkongsian itu mengiktiraf implikasi risiko berkaitan alam semula jadi kepada negara megadiversiti seperti Malaysia.

Sementara itu, Pengarah Negara Bank Dunia bagi Brunei, Malaysia, Filipina dan Thailand, Ndiame Diop berkata Malaysia menyasarkan untuk membangunkan langkah-langkah yang mantap bagi meningkatkan kewangan berkaitan alam semula jadi, lantas mempamerkan contoh yang baik kepada negara lain yang menghadapi kesukaran menangani risiko ekonomi dan kewangan berkaitan alam semula jadi.

Menurut BNM, panduan penilaian risiko akan dibangunkan dengan berunding dengan sekretariat Pasukan Petugas mengenai Pendedahan Kewangan Berkaitan Alam (TNFD).

"Matlamat inisiatif ini adalah untuk menyokong institusi kewangan dan perniagaan Malaysia dalam usaha mengenal pasti dan menilai kebergantungan, impak risiko dan peluang yang berkaitan dengan alam semula jadi bagi sesebuah organisasi.

"Rundingan ini akan diadakan apabila BNM menjadi ahli TNFD Forum, iaitu kumpulan perundingan global pelbagai disiplin yang selari dengan misi dan prinsip TNFD," kata kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, BNM dan Bank Dunia akan memudahkan pembangunan instrumen kewangan yang inovatif bagi menyokong pelaburan swasta terhadap alam semula jadi. Hal ini termasuk menyediakan peraturan yang diperlukan bagi menyokong hasil yang positif bagi alam semula jadi dan merintis struktur kewangan baharu.

-- BERNAMA