Ringkasan AI
- Iran masih menunggu maklum balas Amerika Syarikat terhadap cadangan terbaru untuk membuka semula Selat Hormuz kepada perkapalan antarabangsa.
- Rundingan yang melibatkan pengantara Qatar sedang berlangsung, dan laluan strategik itu berpotensi beroperasi semula dalam dua hari jika persetujuan dicapai.
- Iran menegaskan kesediaan mempertahankan negara daripada ancaman ketenteraan, sementara usaha diplomatik diteruskan bagi meredakan ketegangan rantau.
TEHRAN: Iran berkata pihaknya masih menunggu maklum balas Amerika Syarikat (AS) terhadap cadangan terbaharu bagi membolehkan Selat Hormuz dibuka semula kepada perkapalan antarabangsa, ketika usaha diplomatik diteruskan bagi meredakan ketegangan di rantau itu.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi, berkata rundingan yang melibatkan pengantara dari Qatar masih berlangsung dan laluan strategik berkenaan berpotensi kembali beroperasi dalam tempoh dua hari sekiranya kedua-dua pihak mencapai persetujuan.
Pada masa sama, Tehran menegaskan ia bersedia mempertahankan negara itu daripada sebarang ancaman ketenteraan.
Pegawai kanan keselamatan Iran memberi amaran bahawa aset ketenteraan AS di rantau Asia Barat boleh menjadi sasaran sekiranya konflik terus memuncak.
Ketua keselamatan Iran, Mohsen Rezaei, turut berkata sebarang cubaan melancarkan operasi darat terhadap Iran akan menerima tentangan hebat daripada pasukan pertahanannya.
Walaupun retorik kedua-dua pihak masih keras, beberapa perkembangan terbaharu dilihat memberi harapan kepada usaha diplomatik yang sedang berlangsung.
Menurut Rezaei, surat yang dihantar oleh Naib Presiden AS, JD Vance, telah membawa perubahan ketara dalam pendekatan Washington terhadap Tehran dan disifatkannya sebagai petanda positif bagi membuka ruang kepada penyelesaian melalui rundingan.
Sementara itu, Presiden AS Donald Trump berkata perbincangan dengan Iran berjalan lancar, namun beliau tidak melihat keperluan untuk terburu-buru memeterai sebarang perjanjian.
"Kami sedang berbincang dan setakat ini semuanya berjalan dengan baik. Saya tidak tergesa-gesa untuk mencapai perjanjian damai," katanya.
Selat Hormuz merupakan laluan perkapalan yang sangat penting kepada perdagangan minyak global.
Sebarang gangguan di kawasan itu sering mencetuskan kebimbangan terhadap bekalan tenaga dunia dan kestabilan pasaran antarabangsa.