Skip to main content

Sukan

Yamaha tarik diri daripada MotoGP Qatar susulan situasi di Asia Barat

Fabio Quartararo dari pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP beraksi pada sesi kelayakan di Litar Antarabangsa Sepang. - Foto REUTERS
Fabio Quartararo dari pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP beraksi pada sesi kelayakan di Litar Antarabangsa Sepang. - Foto REUTERS

Advertisement

Ringkasan AI

  • Yamaha mengumumkan penarikan diri daripada Grand Prix Qatar atas faktor keselamatan berkait situasi semasa di Asia Barat.
  • Keputusan itu dibuat selepas Grand Prix Malaysia, dengan Yamaha mengekalkan sekatan perjalanan terhadap kakitangannya ke rantau berkenaan.
  • Penganjur MotoGP kecewa dengan keputusan tersebut, namun semua pasukan lain mengesahkan penyertaan di perlumbaan Qatar minggu depan.
Advertisement

SEPANG: Pengeluar motosikal Jepun, Yamaha, mengumumkan penarikan diri pasukan MotoGP mereka daripada Grand Prix Qatar hujung minggu depan atas faktor keselamatan berkait situasi semasa di Asia Barat.

Keputusan itu diumumkan sejurus selepas berakhirnya Grand Prix Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang pada Ahad.

Dalam satu kenyataan, Yamaha berkata pihak syarikat tidak mempunyai asas yang mencukupi untuk mengubah sekatan perjalanan sedia ada yang dikenakan terhadap kakitangannya ke rantau berkenaan.

Advertisement

"Yamaha tidak mengenal pasti sebarang alasan yang mencukupi untuk mengubah sekatan perjalanan yang sedang berkuat kuasa di seluruh syarikat," menurut kenyataan itu.

Pasukan Yamaha di MotoGP ketika ini dibarisi juara dunia 2021 dari Perancis, Fabio Quartararo, serta pelumba Sepanyol, Alex Rins.

Advertisement

Sementara itu, pihak penganjur MotoGP melahirkan rasa kecewa terhadap keputusan berkenaan dan menyatakan ketidakhadiran Yamaha turut memberi kesan kepada aspek persaingan kejuaraan.

Menurut MotoGP, perbincangan dengan penganjur tempatan di Qatar dan penasihat keselamatan tidak menemukan sebarang faktor yang memerlukan perlumbaan itu dibatalkan atau dijadualkan semula.

Malah, badan pengelola sukan berkenaan memaklumkan semua pasukan lain telah mengesahkan penyertaan mereka dalam perlumbaan yang akan berlangsung di Litar Antarabangsa Lusail, di luar Doha, dari Jumaat hingga 8 November.

"Kami menghargai komitmen pasukan-pasukan lain yang akan terus bersaing di Qatar," menurut kenyataan MotoGP.

Musim MotoGP kini hanya berbaki tiga pusingan selepas perlumbaan di Sepang, yang dimenangi juara dunia tujuh kali daripada Ducati, Marc Marquez.

Pelumba Sepanyol itu juga berpeluang mengesahkan kejuaraan musim ini di Doha sekiranya mencatat keputusan memihak kepadanya.

Keputusan Yamaha dibuat ketika kebimbangan keselamatan di rantau Asia Barat masih berterusan susulan ketegangan yang tercetus sejak awal tahun.

Qatar sebelum ini turut terkesan dengan beberapa insiden berkaitan konflik serantau, termasuk serangan yang menyasarkan aset di kawasan Teluk.

Setakat ini, masih belum dapat dipastikan sama ada penarikan diri Yamaha akan memberi kesan terhadap kedudukan pasukan itu dalam kejuaraan pengeluar dan pasukan bagi musim ini.

 

 

Must Watch Video

Advertisement