Ringkasan AI
- Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka dinaikkan sebanyak 25 mata asas kepada 3.0 peratus pada suku pertama 2027, menurut penganalisis pasaran.
- Unjuran pertumbuhan KDNK 2026 kekal pada 5.3 peratus, disokong permintaan domestik, pelaburan AI, infrastruktur digital dan sektor pelancongan.
- BNM dijangka mengekalkan pendekatan berasaskan data, menilai tekanan inflasi sebelum melaksanakan sebarang pelarasan dasar monetari.
KUALA LUMPUR: Kadar Dasar Semalaman (OPR) dijangka dinaikkan sebanyak 25 mata asas kepada 3.0 peratus pada suku pertama 2027 didorong oleh pertumbuhan ekonomi yang berdaya tahan dan unjuran inflasi tinggi daripada Bank Negara Malaysia (BNM), kata penganalisis pasaran.
Kenanga Investment Bank Bhd menjangka BNM melaksanakan satu kenaikan sebanyak 25 mata asas kepada 3.0 peratus pada suku pertama 2027, sebelum mengekalkannya tanpa perubahan.
Menurut bank pelaburan itu, dengan kebanyakan bank pusat utama mengambil langkah mengetatkan dasar monetari, kadar OPR yang tidak berubah berisiko melebarkan jurang perbezaan kadar faedah, sekali gus memberi tekanan kepada ringgit manakala peningkatan inflasi yang sederhana pada 2027 akan mengurangkan kadar OPR sebenar.
Inflasi kekal rendah pada 1.8 peratus pada September tetapi ketegangan geopolitik yang berterusan memerlukan peralihan secara berperingkat ke arah pendirian dasar monetari yang lebih neutral.
“Bagaimanapun, BNM dijangka mengekalkan pendekatan berasaskan data dan akan menilai perkembangan tekanan inflasi sebelum meneruskan sebarang pelarasan dasar,” menurut bank pelaburan itu dalam nota penyelidikan hari ini.
Pada Khamis, Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) BNM mengekalkan OPR pada 2.75 peratus pada mesyuarat keenam dan terakhirnya tahun ini.
Kenanga Investment Bank mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2026 pada 5.3 peratus, meningkat daripada 5.2 peratus pada 2025, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan, perkhidmatan yang baik dan pelaburan yang berterusan dalam kecerdasan buatan (AI) dan infrastruktur digital.
Menurutnya, permintaan terhadap produk elektrik dan elektronik (E&E) yang didorong oleh perkembangan AI dan pengembangan pusat data dijangka terus menyokong sektor pembuatan manakala sektor pelancongan turut memberikan rangsangan tambahan kepada pertumbuhan ekonomi.
Pertumbuhan ekonomi dijangka sederhana pada suku keempat 2026 berikutan aktiviti pembelian dan penghantaran barangan yang lebih awal daripada jadual berkurangan manakala momentum perdagangan kembali normal.
“Bagaimanapun, keadaan pasaran tenaga kerja yang baik dan pelaburan yang berterusan dijangka dapat mengurangkan cabaran luaran. Kami mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK pada 5.0 peratus bagi 2027.
“Asas pertumbuhan yang tinggi pada 2026 dan pertumbuhan sektor pembuatan yang perlahan menunjukkan momentum ekonomi yang sederhana pada 2027 tetapi asas ekonomi domestik kekal menyokong pertumbuhan,” menurutnya.
Apex Securities Bhd menjangka kenaikan 25 mata asas kepada 3.0 peratus pada Januari 2027, lebih awal daripada unjuran sebelumnya, iaitu pada suku kedua 2027 berikutan melihat tiada sebab untuk bank pusat menangguhkan kenaikan tersebut kerana halangan utama untuk kenaikan telah berkurangan.
Alasan untuk menaikkan kadar faedah adalah kukuh, dengan pertumbuhan ekonomi pada suku ketiga 2026 melebihi jangkaan pada 5.3 peratus manakala pertumbuhan setakat ini pada tahun ini dijangka mencapai 5.5 peratus.
Menurutnya, BNM dilihat yakin bahawa ekonomi negara mampu membuat penyesuaian dengan baik terhadap kekangan bekalan akibat ketegangan geopolitik.
Potensi pemindahan kos kepada pengguna juga boleh mendorong BNM mengambil langkah lebih awal bagi membendung risiko kesan pusingan kedua terhadap inflasi.
“BNM juga boleh memilih untuk menunggu sehingga Mac bagi menilai momentum pertumbuhan ekonomi pada suku pertama 2027. Bagaimanapun, kami berpendapat langkah awal pada Januari adalah tinggi, mengambil kira perubahan dalam imbangan risiko,” menurutnya.
Kebimbangan mengenai ketegangan geopolitik juga semakin mereda dan BNM mengunjurkan kadar inflasi yang tinggi, mengambil kira risiko kenaikan harga komoditi yang memberi impak kepada pengguna.
-- BERNAMA