KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) dijangka mengekalkan kadar dasar semalaman (OPR) pada 3.0 peratus sepanjang 2024, bersandarkan kepada data-data utama dalam negeri yang stabil dan angka inflasi teras serta prospek pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang kukuh sekitar 4.5- 5.0 peratus, kata Kenanga Investment Bank Bhd.

Bank pelaburan itu berkata walaupun terdapat kebimbangan mengenai pelan rasionalisasi subsidi kerajaan dan cukai perkhidmatan yang meningkat (daripada 6.0 peratus kepada 8.0 peratus) yang boleh memberi kesan kepada inflasi, tetapi ia percaya kesannya mungkin agak terhad.

"Pandangan ini ada dalam unjuran inflasi kami iaitu sebanyak 2.7 peratus untuk 2024, dan ini akan menghasilkan kadar faedah benar yang positif kira-kira 0.3 peratus, dengan mengandaikan OPR kekal tidak berubah pada 3.0 peratus sepanjang tahun ini," katanya dalam nota kajian pada Jumaat.

Bagi prospek ringgit, ia mengunjurkan mata wang tempatan akan mengukuh ke paras 4.42 berbanding dolar AS menjelang akhir 2024, kerana percaya Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat berkemungkinan akan memotong kadar faedahnya bermula Jun dan seterusnya.

"Bagaimanapun, mengekalkan keyakinan pelabur terhadap hala tuju dasar fiskal negara amat penting untuk menarik pelaburan ke Malaysia," katanya.

Begitu juga dengan BMI, sebuah syarikat Fitch Solutions, juga menjangkakan bank pusat akan mengekalkan OPR pada 3.0 peratus sepanjang 2024.

"Mengapa kami masih berfikir BNM akan terus mengekalkannya (OPR) ialah kerana kebimbangan penggubal dasar mengenai nilai ringgit, yang telah susut lebih 5.0 peratus berbanding dolar AS sepanjang tahun lalu," katanya dalam nota penyelidikan.

Selain itu, BMI percaya Malaysia tidak perlu bimbang terhadap inflasi untuk bergerak maju ke hadapan.

"Bahagian minyak dan gas kami masih mengunjurkan purata harga minyak mentah akan meningkat kira-kira 5.0 peratus pada 2024, konsisten dengan inflasi utama yang kekal di bawah 2.0 peratus (sejak beberapa bulan lalu)," katanya.

Mengenai prospek ringgit, BMI berkata Fed berkemungkinan akan mengurangkan kadar faedahnya pada separuh kedua 2024, dan hasilnya akan beransur-ansur memihak kepada ringgit dalam beberapa bulan akan datang dan menyokong nilainya.

"Kami juga menjangkakan pertumbuhan KDNK yang agak kukuh pada 4.4 peratus untuk 2024, peningkatan ketara daripada 3.7 peratus pada 2023, yang bermakna bank pusat tidak akan tergesa-gesa untuk memotong kadar bagi menyokong ekonomi," tambahnya.

--BERNAMA