KUALA LUMPUR: Sejumlah RM600 juta daripada beberapa kemudahan pembiayaan di bawah Dana Bank Negara Malaysia (BNM) untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), diperuntukkan bagi empat segmen sasar.

Dalam kenyataan semalam, bank pusat itu berkata ini sejajar dengan langkahnya untuk terus menyokong segmen-segmen utama perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) mendapatkan pembiayaan pada kadar yang kompetitif.

"Empat segmen itu masing-masing adalah tambahan RM200 juta untuk kemudahan perusahaan mikro (MEF); RM200 juta di bawah kemudahan untuk semua sektor ekonomi; RM100 juta di bawah kemudahan agromakanan dan RM100 juta bagi kemudahan peralihan karbon rendah," kata BNM.

Bank pusat itu memperincikan butiran bantuan bagi PMKS dalam Belanjawan 2024 yang diumumkan oleh Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 13 Oktober lepas.

Menurut BNM, secara keseluruhannya sejumlah RM8.4 bilion masih tersedia untuk PMKS di bawah semua kemudahan pembiayaan Dana BNM untuk PKS.

Kemudahan ini sejajar dengan usaha menyokong penglibatan PMKS dalam inisiatif-inisiatif utama kerajaan, termasuk Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan inisiatif-inisiatif lain di bawah Belanjawan 2024.

Maklumat lanjut mengenai semua kemudahan pembiayaan di bawah Dana BNM untuk PKS terdapat di bnm.gov.my/funds4sme.

Dalam pada itu, BNM berkata tambahan RM25 juta dalam bentuk dana padanan pula akan diperuntukkan bagi menyokong usaha memperluas inisiatif iTEKAD dan membantu usahawan mikro berpendapatan rendah.

"Dana ini akan dipadankan dengan dana kewangan sosial seperti derma (termasuk dana tanggungjawab sosial korporat), zakat dan wakaf tunai," katanya.

BNM berkata, maklumat lanjut mengenai iTEKAD dan inisiatif kewangan sosial lain boleh diperoleh menerusi bnm.gov.my/social-finance.

-- BERNAMA

BNM, dana, PMKS, PKS, pembiayaan, Belanjawan 2024