Skip to main content

Malaysia

Aidilfitri: ICQS Rantau panjang dijangka sesak, 50,000 pengembara rentas sempadan

PASIR MAS, 7 Feb -- Suasana sesak di hadapan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang ketika rakyat Malaysia memilih untuk bercuti di Thailand ketika tinjauan di sini baru-baru ini._BERNAMA
Pihak AKPS menjangkakan pergerakan kira-kira 50,000 pengembara melalui ICQS Rantau Panjang dalam tempoh tiga hari sebelum dan selepas hari raya. - Bernama

PASIR MAS: Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang dijangka menyaksikan pergerakan kira-kira 50,000 pengembara dalam tempoh tiga hari sebelum dan selepas Aidilfitri apabila rakyat Thailand yang bekerja di Malaysia mula pulang ke kampung halaman masing-masing.

Tinjauan Bernama di ICQS Rantau Panjang hari ini mendapati hampir 10 van yang mengangkut rakyat Thailand dari negeri di pantai barat Semenanjung tiba di kompleks berkenaan.

Advertisement

Sebahagian daripada mereka pulang dari Kuala Lumpur dan Lembah Klang menggunakan bas sebelum meneruskan perjalanan memasuki Thailand dengan menaiki motosikal tambang.

Timbalan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Rantau Panjang Bakri Sulaiman berkata kesesakan di pintu sempadan itu dijangka meningkat dalam tempoh beberapa hari lagi menjelang 1 Syawal.

Beliau berkata pihaknya menjangkakan pergerakan kira-kira 50,000 pengembara melalui ICQS Rantau Panjang dalam tempoh tiga hari sebelum dan selepas hari raya.

“Diharapkan segala pergerakan di ICQS di sini berjalan lancar dan kita akan membuka laluan semaksimum mungkin terutama di kaunter pasport.

“Selain itu, operasi di ICQS juga dimulakan sejam lebih awal iaitu pada 6 pagi bagi melancarkan pergerakan pengembara,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam pada itu, Bakri berkata pihaknya turut memperketat pemeriksaan di pintu sempadan bagi mengelakkan cubaan menyeludup barangan kawalan serta bahan api ke negara jiran.

Beliau berkata semua anggota penguat kuasa diarahkan meningkatkan pemeriksaan terhadap kenderaan yang melalui kompleks berkenaan, khususnya yang menuju ke Thailand.

Bakri berkata langkah itu diambil berikutan kemungkinan terdapat pihak tertentu mengambil kesempatan daripada situasi semasa untuk menyeludup bahan api dan barangan kawalan lain merentasi sempadan.

“Kita memberi amaran tindakan tegas akan dikenakan kepada mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan termasuk menyeludup bahan api menggunakan tangki tambahan.

“Kita juga akan sentiasa bekerjasama rapat dengan agensi penguat kuasa lain di sempadan bagi mendapatkan maklumat berkaitan sebarang cubaan meloloskan diri melalui ICQS,” katanya.

-- BERNAMA

Must Watch Video