BISNES
BPMB, Hartasuma meterai MoU RM367.2 juta untuk projek kereta kabel Bukit Bendera

Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) dan Hartasuma Ropeways Sdn Bhd iaitu syarikat tujuan khas (SPV) milik penuh Hartasuma Sdn Bhd memeterai perjanjian kerjasama hari ini bagi projek kereta kabel baharu di Bukit Bendera. - Foto BERNAMA
GEORGE TOWN: Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB) dan Hartasuma Ropeways Sdn Bhd iaitu syarikat tujuan khas (SPV) milik penuh Hartasuma Sdn Bhd memeterai perjanjian kerjasama hari ini bagi projek kereta kabel baharu di Bukit Bendera, di sini.
Projek itu bertujuan meningkatkan akses pengangkutan ke Bukit Bendera.
Ia akan memperluas sambungan ke Rizab Biosfera Bukit Bendera serta menggiatkan sektor pelancongan di negeri berkenaan.
Projek ini merupakan inisiatif infrastruktur utama dengan kemudahan pembiayaan bernilai RM367.2 juta.Sebagai syarikat konsesi jangka panjang, Hartasuma Ropeways akan bertanggungjawab membangunkan, membiayai, mengendalikan dan menyelenggara keseluruhan sistem kereta kabel berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan Perbankan Korporat dan Pelaburan BPMB Mohamed Nazri Omar berkata pembiayaan berkenaan mencerminkan komitmen BPMB sebagai institusi kewangan pembangunan bagi menyokong infrastruktur lestari yang memberikan manfaat sosial dan ekonomi jangka panjang.
"Kemudahan pembiayaan sebanyak RM367.2 juta ini mencerminkan tumpuan kami dalam menyokong infrastruktur pelancongan lestari yang menjana manfaat sosial dan ekonomi jangka panjang.
"Dengan membolehkan projek kereta kabel Bukit Bendera, kami membantu mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan bertaraf dunia serta mewujudkan peluang bermakna untuk komuniti," katanya pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di sini hari ini.
Pada majlis itu, Ketua Liputan Kumpulan BPMB Gerald Goh dan Pengarah Eksekutif Hartasuma Tan Sri M Ravindran menandatangani MoU itu yang disaksikan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
Mohamed Nazri berkata, projek ini menandakan inisiatif pembiayaan bercampur pertama BPMB yang menggabungkan pembiayaan hutang dan pelaburan ekuiti sehingga RM30 juta melalui anak syarikatnya, BPMB Dana Sdn Bhd.
Dalam pada itu, Ravindran berkata projek berkenaan berkisar mengenai pewujudan warisan bersama yang dapat dihubungkan dengan generasi akan datang.
"Menerusi pencapaian penting ini, tumpuan kini akan beralih kepada pelaksanaan bagi memberikan pengalaman perubahan yang dikagumi di peringkat global menjelang awal 2027," katanya.
Sementara itu, Chow berkata projek kereta kabel berkenaan mencerminkan visi Pulau Pinang untuk pelancongan lestari, pembangunan yang seimbang dan perancangan jangka panjang.
"Majlis MoU hari ini bukan sekadar pencapaian pembiayaan sahaja. Dengan bilangan penumpang kereta kabel funikular melebihi satu juta tahun ini dan perubahan besar-besaran yang sedang dijalankan di gerai makanan Astaka, keperluan untuk projek ini sangat mendesak.
"Kereta kabel itu tidak akan menggantikan funikular, tetapi akan melengkapinya. Ia akan mengurangkan kesesakan, meningkatkan pengalaman pengunjung dan memperkukuh kesiapsiagaan semasa waktu puncak," katanya.
Direka untuk membawa sehingga 1,400 penumpang sejam ke setiap arah, kereta kabel Bukit Bendera ini akan menjadikan perjalanan selama 10 minit sejauh 2.73 kilometer dari Taman Botani Pulau Pinang ke puncak bukit.
Terdapat tiga stesen utama disediakan iaitu Stesen Taman di kaki bukit, Stesen Persimpangan di tengah perjalanan dan Stesen Bukit di puncak.
Ia akan menawarkan satu alternatif pengangkutan kepada landasan kereta kabel funikular sedia ada.
Projek kereta kabel Bukit Bendera dijadualkan siap menjelang Disember 2026.
Ia akan menjalani fasa ujian selama tiga bulan termasuk ujian pengoperasian sebelum dibuka kepada orang ramai.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami