Skip to main content

Bisnes

BSN angkat 69 kisah usahawan mikro sempena Merdeka

BSN, MERDEKA
Sesi bergambar bersama pelajar-pelajar Sekolah Menengah Pendidikan Khas Shah Alam bersama Datuk M. Nasir (dua, kiri), Datuk Seri Amir Hamzah (tengah) dan Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin (dua, kanan). - Foto BSN
Advertisement

KUALA LUMPUR: Kisah kecekalan 69 usahawan mikro dari seluruh negara menjadi nadi kepada kempen ‘Cerita Mereka, Jiwa Malaysia’ sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-69.

Bank Simpanan Nasional (BSN) menerusi kempen itu mengetengahkan perjalanan usahawan daripada pelbagai latar belakang dan budaya dalam membina kehidupan melalui perniagaan, sekali gus menyorot semangat rakyat Malaysia untuk bangkit, berdikari dan menyumbang kepada komuniti.

Menurut Pengerusi BSN, Datuk Seri Dr. Awang Adek Hussin, pemilihan 69 usahawan itu selari dengan sambutan Hari Kebangsaan ke-69, selain secara simboliknya mewakili hampir 180,000 usahawan mikro yang disokong BSN melalui akses kepada pembiayaan.

“Jadi, cerita mereka jiwa Malaysia dan sambutan sebentar tadi, bagi saya, cukup meriah. Walaupun di peringkat BSN sahaja dengan kehadiran yang berhormat Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah. 

“Beliau juga teruja, terutama ketika melihat persembahan daripada Sekolah Menengah Pendidikan Khas Shah Alam.

“Dan juga melawat gerai-gerai usahawan yang memasarkan pelbagai produk hasil daripada mereka, keluarga mereka, anak-anak mereka,” katanya pada majlis Karnival BSN Mikro MADANI yang disempurnakan Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan di Wisma BSN, di sini, pada Jumaat.

Image
BSN, MERDEKA
(Dari kiri) Awang Adek, Amir Hamzah dan Pemangku Ketua Eksekutif BSN, Mujibburahman Abd Rashid pada sesi nyanyian lagu kemerdekaan. - Foto BSN

Beliau berkata, kisah yang diketengahkan turut mencerminkan pelbagai cabaran yang dilalui usahawan dalam membina kehidupan dan mengembangkan perniagaan, termasuk mereka yang memulakan perniagaan selepas berdepan kesukaran hidup.

Dalam pada itu, Awang Adek berkata, sokongan BSN kepada usahawan mikro tidak terhad kepada pembiayaan, sebaliknya turut merangkumi bimbingan pengurusan kewangan dan pendigitalan perniagaan bagi membantu mereka menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran.

“Tapi pada masa yang sama juga, kita mahu membimbing usahawan ini supaya mereka tidak gagal di tengah jalan.

“Satu aspek penting adalah dari segi bimbingan bagaimana mereka harus menguruskan keuangan yang cekap. 

"Yang keduanya, bagaimana menggunakan kemudahan multimedia,” jelasnya.

Image
BSN, MERDEKA
Amir Hamzah (tengah) ketika sesi lawatan reruai pada Karnival BSN Mikro MADANI. - Foto BSN

Karnival BSN Mikro MADANI turut menyediakan ruang kepada usahawan mikro memperkenalkan produk kepada masyarakat, selain program literasi kewangan untuk usahawan OKU daripada MyOKU Preneur serta usahawan desa di bawah KEMAS, Khadijah Artisans dan USAHANITA.

Dalam kempen sama, pelajar Sekolah Menengah Pendidikan Khas Vokasional Shah Alam yang merupakan Sekolah Angkat MADANI BSN 2025, menghasilkan 5,000 cup sleeve atau sarung cawan batik edisi khas berilhamkan motif batik pada uniform teller BSN.

Cup sleeve berkenaan kemudiannya diedarkan menerusi 69 usahawan mikro kepada pelanggan mereka di seluruh negara, menghubungkan usahawan, bakat pelajar berkeperluan khas dan komuniti dalam satu inisiatif sempena Hari Kebangsaan ke-69.

Bagi BSN, penglibatan pelajar berkeperluan khas itu turut mencerminkan aspirasi ‘Tiada Rakyat Malaysia Yang Ketinggalan’ dengan setiap individu diberi ruang untuk mengetengahkan bakat dan menyumbang kepada masyarakat.

Kempen ‘Cerita Mereka, Jiwa Malaysia’ mengetengahkan keusahawanan sebagai sebahagian daripada perjalanan rakyat membina kehidupan, di samping mengangkat sumbangan usahawan mikro kepada keluarga, peluang pekerjaan dan komuniti setempat.

Image
BSN, MERDEKA
Amir Hamzah (tengah) beramah mesra bersama usahawan ketika sesi lawatan reruai pada Karnival BSN Mikro MADANI. - Foto BSN

Must Watch Video

Advertisement