MELAKA: Pengunjung yang berbuka puasa di Grand Swiss-Belhotel Melaka tahun ini bukan sahaja dapat menikmati pelbagai hidangan warisan tempatan, malah berpeluang memenangi sebuah kereta menerusi cabutan bertuah khas yang ditawarkan sepanjang bufet Ramadan hotel berkenaan.
Inisiatif tersebut diperkenalkan sebagai antara tarikan utama program bufet Ramadan Santapan Warisan, yang mengetengahkan pelbagai hidangan nostalgia dari seluruh negara.
Advertisement
Pengarah Kanan Jualan dan Pemasaran Grand Swiss-Belhotel Melaka, Emmelynn Kuan berkata, cabutan bertuah tersebut terbuka kepada pelanggan yang membuat pembayaran bernilai minimum RM500 dalam satu resit.
“Saya boleh katakan ini sangat menarik sebab hotel kami ialah hotel pertama dekat Melaka yang menawarkan cabutan bertuah sebuah kereta jenis Perodua Axia hanya dengan berbelanja untuk bufet Ramadan.
“Kami nak bagi ‘raya yang paling bermakna’ buat tetamu kami yang mana dengan pembelian bernilai RM500 dalam satu resit, pengunjung layak sertai cabutan bertuah ini. Bayangkan datang makan dengan keluarga, balik bawa kereta baharu,” katanya.

Cabutan bertuah ini bukanlah yang pertama dijalankan pada tahun ini. Pada Januari lalu, pihak hotel telah menganjurkan Preview Ramadan dimana pelanggan yang terpilih telah memenangi penginapan di beberapa hotel rangkaian Swiss-Belhotel International di luar negara termasuk di Indonesia, Thailand dan Vietnam.
Dari segi hidangan, bufet Santapan Warisan menampilkan pelbagai menu istimewa yang menonjolkan cita rasa tradisional dan makanan ikonik tempatan.
“Selain kambing bakar, kami bawakan daging salai masak lemak cili api yang dibuat secara tradisional. Banyak lagi menu seperti ikan asam pedas Melaka, ayam kapitan Baba Nyonya, kari kambing Batu Pahat, kerutuk daging Pantai Timur dan rendang itik Kuala Pilah,” ujarnya.

Bagi menambah kemeriahan pengalaman berbuka puasa, hotel berkenaan turut menyediakan beberapa gerai masakan panas atau ‘live station’ yang membolehkan tetamu menikmati hidangan panas yang dimasak di hadapan mereka.
“Kami nak tetamu rasa pengalaman ‘fresh from the wok’ yang mana ada stesen mi goreng mamak yang berasap, kambing golek Kota Melaka, ayam pasu Masjid Tanah serta nasi kandar Jalan Hang Tuah yang menjadi kegemaran ramai,” katanya.
Selain itu, terdapat juga pilihan dim sum dan pau dari Lubok China serta Yong Tau Foo dari Pantai Puteri yang melengkapkan variasi hidangan bufet berkenaan.
Dalam masa sama, bufet Ramadan di hotel tersebut turut diserikan dengan penampilan istimewa pelawak terkenal Yassin Senario pada tarikh tertentu sepanjang Ramadan.
Selain bufet Ramadan, hotel berkenaan turut menawarkan pakej penginapan khas sempena sambutan Aidilfitri bagi mereka yang ingin menikmati suasana perayaan di Melaka dengan lebih selesa.
Jelas Emmelynn pengunjung tidak perlu bimbang mengenai kesesakan atau kemudahan parkir kerana hotel menyediakan ruang letak kereta yang luas serta kemudahan penginapan yang selesa.
“Selepas penat beraya di luar, anda boleh kembali ke bilik yang selesa dengan pendingin hawa, katil empuk dan perkhidmatan bilik 24 jam. Tak perlu pening kepala nak mengemas rumah atau berebut bilik air dengan saudara-mara,” katanya.
Sehubungan itu, pihak hotel menjemput orang ramai untuk mencipta memori indah sepanjang Ramadan dan Syawal bersama keluarga di Grand Swiss-Belhotel Melaka yang turut menawarkan pakej minum petang serendah RM 68 pada hari raya pertama dan kedua.