Ringkasan AI
- Kementerian Dalam Negeri merancang guna bekas kem PLKN sebagai penjara kluster dadah, penjara satelit atau pusat reintegrasi bagi atasi kesesakan penjara.
- Pindaan Akta SOSMA hanya akan dibentangkan di Dewan Rakyat selepas sesi libat urus lanjutan bersama pihak berkepentingan dimuktamadkan.
- Saringan dadah rawak ke atas juruterbang dan kru penerbangan telah dimulakan sebagai sebahagian langkah memperkukuh keselamatan di KLIA.
KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN) merancang memperluaskan penggunaan bekas kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) sebagai penjara kluster dadah, penjara satelit atau pusat reintegrasi penghuni bagi mengatasi isu kesesakan penjara yang kini mencecah 18.54 peratus melebihi kapasiti.
KDN memaklumkan kaedah menyewa atau membeli bekas kem berkenaan bertujuan mengoptimumkan infrastruktur sedia ada, menambah kapasiti penempatan dan membolehkan pengurusan dan pelaksanaan program pemulihan dilaksanakan mengikut kategori dan keperluan penghuni.
Menurut kementerian itu, statistik Jabatan Penjara Malaysia setakat 23 Sept lepas merekodkan sebanyak 88,609 banduan ditempatkan di kemudahan penjara berbanding kapasiti sebenar 74,751 orang, iaitu lebihan 13,858 banduan.
"Kerajaan juga berpandangan bahawa isu kesesakan penjara tidak boleh diselesaikan semata-mata melalui pembinaan penjara baharu, sebaliknya memerlukan pendekatan lebih menyeluruh melalui pengoptimuman kapasiti fizikal serta pengurangan tekanan terhadap populasi penjara menerusi program pemulihan dalam komuniti," menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis di laman rasmi Parlimen.
KDN menjawab soalan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) mengenai rancangan kerajaan menambah baik kapasiti, infrastruktur dan nisbah kakitangan berbanding dengan banduan khususnya dalam menangani isu kesesakan penjara.
KDN turut memaklumkan lima daripada 12 penjara usang telah dikenal pasti sebagai keutamaan untuk disegerakan penggantiannya iaitu Penjara Pulau Pinang, Penjara Taiping, Penjara Alor Setar, Penjara Seremban dan Pusat Koreksional Batu Gajah.
Bagi mengoptimumkan nisbah kakitangan kepada banduan pula, Jabatan Penjara dijangka melaksanakan pengambilan 516 pegawai beruniform tahun hadapan bagi mengisi sebahagian daripada 1,224 kekosongan jawatan yang direkodkan setakat Ogos lepas.
Sementara itu, dalam jawapan bertulis berasingan kepada Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor), KDN memaklumkan pindaan terhadap Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) hanya akan dibentangkan di Dewan Rakyat selepas sesi libat urus lanjutan bersama pihak berkepentingan selesai dimuktamadkan.
Menurut kementerian itu, sesi libat urus bersama pihak berkepentingan itu perlu dilaksanakan susulan arahan terbaharu Jemaah Menteri pada 6 Feb lepas yang memperhalusi cadangan pindaan sedia ada dengan mengemukakan penelitian khusus melibatkan kuasa penahanan dalam tempoh siasatan.
Penelitian itu turut merangkumi penentuan pemakaian SOSMA bagi kesalahan jenayah ekonomi terancang rentas sempadan.
KDN memaklumkan draf reformasi perundangan itu turut merangkumi penyelarasan semula senarai kesalahan di bawah Jadual Pertama SOSMA bagi memberi budi bicara kepada mahkamah mempertimbangkan ikat jamin secara bersyarat untuk kategori kesalahan tertentu yang dinilai tidak mendatangkan ancaman keselamatan ekstrem.
Dalam pada itu, KDN memaklumkan saringan dadah secara rawak telah dimulakan ke atas juruterbang dan kru penerbangan sebagai sebahagian daripada pelaksanaan segera 17 syor memperkukuh kawalan keselamatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Menjawab pertanyaan Onn Abu Bakar (PH-Batu Pahat), KDN berkata pelaksanaan di bawah Fasa Satu (jangka pendek sifar hingga enam bulan) itu telah diluluskan Jemaah Menteri pada 19 Ogos lepas.
Fasa berkenaan turut melibatkan pengetatan tapisan keselamatan melalui sistem e-Vetting dan kawalan pas akses ke kawasan larangan oleh Pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan (CGSO) bersama Keselamatan Penerbangan (AVSEC).
Menurut KDN, Fasa Dua (enam hingga 24 bulan) pula akan memberi tumpuan kepada perolehan aset strategik berteknologi tinggi termasuk pengimbas badan dan pengimbas bagasi berkuasa tinggi.
Ia juga merangkumi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) dengan analitik kecerdasan buatan (AI) serta pengukuhan Unit K9 Polis Diraja Malaysia (PDRM).
-- BERNAMA