Skip to main content

Malaysia

[TERKINI] ‘Saya khilaf menerajui kerajaan negeri’ - Ismail Lasim

Ismail (foto) ketika membacakan aku janjinya turut menyatakan komitmen untuk memastikan seluruh anggota kerajaan negeri terus menghormati dan mempertahankan kedaulatan institusi diraja serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan. -Foto Astro AWANI
Ismail (foto) ketika membacakan aku janjinya turut menyatakan komitmen untuk memastikan seluruh anggota kerajaan negeri terus menghormati dan mempertahankan kedaulatan institusi diraja serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan. -Foto Astro AWANI
Advertisement

SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim mengakui kekhilafan dalam menerajui pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini susulan kemelut yang melibatkan institusi adat dan pentadbiran negeri.

Beliau ketika membacakan aku janjinya turut menyatakan komitmen untuk memastikan seluruh anggota kerajaan negeri terus menghormati dan mempertahankan kedaulatan institusi diraja serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.

“Saya menurunkan aku janji ini dengan memahami sepenuhnya kandungan aku janji ini dan kesannya. Ianya dibuat atas kesedaran saya yang telah khilaf dalam menerajui kerajaan Negeri Sembilan sebelum ini.

Advertisement

“(Kini) tanggungjawab saya untuk memastikan semua anggota kerajaan negeri Sembilan terus menghormati dan taat setia kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan seluruh institusi diraja serta Dewan Keadilan dan Undang, selanjutnya melindungi dan memelihara kedaulatan Perlembagaan Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas di kediaman rasmi Menteri Besar di sini sejurus selesai menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap pada Jumaat.

Advertisement

Dalam perkembangan sama, Ismail memberi jaminan bersedia meletakkan jawatan sekiranya beliau atau mana-mana anggota kerajaan negeri melanggar mana-mana ketetapan dalam aku janji berkenaan.

“Justeru, sekiranya saya atau mana-mana anggota kerajaan negeri melanggar mana-mana bahagian dan perenggan kepada aku janji ini, saya berjanji akan menarik diri dan menyembah maklum surat peletakan jawatan dengan cara yang sempurna.

“Saya akan serah kepada Tuanku Muhriz bersama anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang lain,” tambahnya.

Aku janji itu antara lain merangkumi pengiktirafan kedudukan Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah, selain komitmen melaksanakan ketetapan Dewan Keadilan dan Undang (DKU).

Ismail pada Jumaat menghadap Tuanku Muhriz di Istana Hinggap, Seremban sebelum memaklumkan baginda menitahkan beliau meneruskan tanggungjawab sebagai Menteri Besar demi memastikan kelancaran pentadbiran serta kepentingan rakyat negeri itu terus terpelihara.

Sementara itu, Ismail berkata pentadbiran kerajaan negeri ketika ini berdepan kekangan susulan ketiadaan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco), sekali gus menyebabkan banyak urusan dan keputusan kerajaan tidak dapat dilaksanakan.

Jelasnya, keadaan itu berlaku selepas anggota Exco terbabit dipecat pada 20 September lalu.

“Pentadbiran terencat ini sebab kita tak ada Exco dan banyak keputusan kerajaan tak boleh dibuat. Jadi kita berpandangan itu merupakan keutamaanlah, mesti ada Exco semula.

“Nama-nama Exco ni mengikut perkenan daripada Tuanku, atau hak Tuanku,” katanya.

Bagaimanapun, Ismail memaklumkan senarai nama calon Exco masih belum dimuktamadkan, namun tidak menolak kemungkinan pelantikan berkenaan dapat diselesaikan dalam minggu ini.

Katanya, urusan pelantikan Exco perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum tarikh persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) ditentukan.

Must Watch Video

Advertisement