KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia ditutup rendah hari ini disebabkan aktiviti pengambilan susulan daripada kenaikan baru-baru ini.

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 13.42 mata kepada 1,538.02 daripada paras penutup 1,551.44 pada Khamis.

Indeks petunjuk pasaran dibuka 1.72 mata lebih tinggi kepada 1,553.16 dan bergerak antara paras 1,537.11 dan 1,556.22 sepanjang hari dagangan.

Dalam pasaran secara menyeluruh, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 679 berbanding 396 manakala 448 kaunter tidak berubah, 737 tidak diniagakan dan 23 yang lain digantung.

Jumlah dagangan turun kepada 4.82 bilion unit bernilai RM3.09 bilion daripada 5.34 bilion unit bernilai RM7.01 bilion semalam.

Rakan Kongsi Pengurusan SPI Asset Management, Stephen Innes berkata dalam landskap pasaran semasa terdapat perbezaan yang ketara antara pasaran yang berbeza.

"Walaupun indeks utama Amerika Syarikat (AS) terutamanya yang didominasi oleh syarikat teknologi mega dalam sektor kecerdasan buatan, terus mencecah paras tertinggi walaupun terdapat kebimbangan terhadap kenaikan inflasi AS dan pertumbuhan pendapatan peribadi yang kukuh, saham tempatan bergelut dengan cabaran seperti hasil AS yang lebih tinggi dan data indeks pengurus pembelian (PMI) pembuatan lebih lemah dari China.

"Data PMI China itu menunjukkan penguncupan berterusan dalam sektor pembuatan yang membebankan sentimen pelabur," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata Bursa Malaysia menjadi lebih rendah apabila pengambilan untung berterusan berikutan rali baru-baru ini.

Meanwhile, Rakuten Trade Sdn Bhd equity research vice-president Thong Pak Leng said Bursa Malaysia trended lower as profit-taking continued following the recent rally.

"Sementara itu, indeks serantau utama bergerak lebih tinggi berikutan data ekonomi positif dari China.

"Data rasmi mendedahkan bahawa PMI pembuatan China untuk Februari sepadan dengan unjuran tinjauan oleh Reuters pada 49.1, manakala Pembuatan Caixin (PMI) akhir mencatatkan angka lebih tinggi sedikit sebanyak 50.9, meningkat daripada 50.8 bulan sebelumnya.

"Pada masa yang sama, indeks harga perbelanjaan penggunaan peribadi AS Januari turut menepati jangkaan, menimbulkan jangkaan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) akan menurunkan kadar faedah menjelang bulan Jun," katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank berkurangan lapan sen kepada RM9.45, Public Bank merosot empat sen kepada RM4.36, CIMB susut 12 sen kepada RM6.34 dan Petronas Chemicals turun tujuh sen kepada RM6.93.

Bagaimanapun, Tenaga Nasional meningkat empat sen kepada RM11.30.

Antara saham aktif, Harvest Miracle Capital melonjak 0.5 sen kepada 15 sen, RGB International menambah 2.5 sen kepada 31.5 sen dan TWL Holdings berkurangan 0.5 sen kepada 3.5 sen, manakala Borneo Oil dan Velesto Energy tidak berubah masing-masing pada satu sen dan 28.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 81.51 mata kepada 11,410.31, Indeks FBMT 100 kurang 83.43 mata kepada 11,074.77, Indeks FBM Emas Shariah menguncup 56.44 mata kepada 11,471.55, Indeks FBM ACE merosot 7.77 mata kepada 4,760.36 manakala Indeks FBM 70 susut 61.43 mata kepada 15,384.72.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 141.28 mata kepada 17,175.22, Indeks Utiliti berkurangan 14.36 mata kepada 1,524.64, Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan turun kepada 0.50 kepada 175.78, Indeks Tenaga menguncup 15.05 mata kepada 909.65, bagaimanapun Indeks Perladangan meningkat 29.19 kepada 7,223.86.

Jumlah dagangan Pasaran Utama merosot kepada 3.29 bilion unit bernilai RM2.83 bilion daripada 3.69 bilion unit bernilai RM6.74 bilion pada Khamis.

Jumlah dagangan waran berkurangan kepada 931.75 juta unit bernilai RM125.0 juta daripada 1.11 bilion bernilai RM145.80 juta semalam.

Jumlah dagangan Pasaran ACE pula meningkat kepada 579.47 juta saham bernilai RM131.61 juta daripada 546.80 juta saham bernilai RM127.64 juta semalam.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 411.86 juta saham yang didagangkan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (1.31 bilion); pembinaan (152.78 juta); teknologi (263.16 juta); SPAC (sifar); perkhidmatan kewangan (148.72 juta); hartanah (325.54 juta); perladangan (97.16 juta); REIT (35.47 juta); dana tertutup (54,200); tenaga (313.38 juta); penjagaan kesihatan (54.11 juta); telekomunikasi dan media (25.69 juta); pengangkutan dan logistik (39.75 juta); serta utiliti (111.54 juta).

-- BERNAMA