Bursa Malaysia dibuka rendah hari ini berikutan pelabur menunggu pengumuman keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi suku kedua dan separuh pertama oleh Bank Negara Malaysia tengah hari ini.

Kedudukan pasaran, bagaimanapun positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi iaitu sebanyak 104 berbanding 66, manakala 126 kaunter tidak berubah, 1,634 tidak diniagakan dan 14 lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 50.60 juta unit bernilai RM25.61 juta.

Pada 9.05 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 3.83 mata kepada 1,596.46, di bawah paras sokongan psikologi 1,590 daripada 1,600.29 semasa ditutup semalam.

Indeks dibuka 2.23 mata lebih rendah pada 1,598.06.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata pengumuman pertumbuhan suku kedua akan mempengaruhi hala tuju pasaran hari ini.

"Bagaimanapun, musim pelaporan keputusan yang sedang berlangsung menyaksikan keputusan bercampur-campur hingga rendah yang masih mengekalkan keadaan pasaran terkawal.

"Walaupun keadaan pasaran masih tidak menentu, kami fikir aktiviti belian semasa harga rendah dapat membantu memacu FBM KLCI dan mungkin membolehkannya mengakhiri dagangan minggu ini dengan lebih positif," katanya.

Firma penyelidikan itu juga berkata dengan indeks utama mengekalkan paras psikologi 1,600 mata, paras rintangan akan kekal pada paras 1,610 dan 1,620 dan paras sokongan pada 1,580-1,590.

"Kami melihat keadaan positif sederhana itu meluas ke saham barisan bawah dan saham pasaran lebih meluas yang membolehkan indeks seperti FBM Small Cap dan FBM ACE juga mengakhiri minggu ini dalam kedudukan lebih positif, walaupun kami berpendapat penyertaan mungkin sedikit disebabkan sikap berhati-hati, " katanya.

Bagi prestasi saham wajaran tinggi, Kuala Lumpur Kepong turun 32 sen kepada RM23.58, Digi dan Dialog masing-masing susut satu sen kepada RM4.98 dan RM3.51; manakala Press Metal dan IHH masing-masing turun empat sen kepada RM4.72 dan RM5.64.

Bagi saham paling aktif, Datasonic dan Iris masing-masing naik satu sen kepada 91.5 sen dan 16.5 sen, waran Datasonic naik setengah sen kepada 43.5 sen dan Genting Malaysia menokok empat sen kepada RM3.11 manakala Ekovest tidak berubah pada 81 sen.

FBM Ace meningkat 24.44 mata kepada 4,616.05, FBM 70 turun 20.95 mata kepada 14,080.28, Indeks FBM Emas merosot 22.50 mata kepada 11,294.98, Indeks FBM Emas Shariah menyusut 38.53 mata kepada 11,810.30 dan FBMT 100 Index turun 24.34 mata kepada 11,132.06.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 7.58 mata kepada 15,548.80, Indeks Perladangan merosot 44.48 mata kepada 6,758.95, dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.23 mata kepada 149.40.

-- BERNAMA