KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia tidak dapat meneruskan kenaikan semalam apabila dibuka rendah pada Rabu berikutan minat pelabur telah dipengaruhi oleh sentimen lemah yang dibawa Wall Street apabila mengalami penurunan dalam tempoh semalaman.

Pada 9.07 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 0.89 mata kepada 1,450.11 daripada 1,451.0 ketika ditutup pada Selasa.

Indeks utama itu dibuka 0.70 mata lebih rendah kepada 1,450.3.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 134 berbanding 110, manakala 235 kaunter tidak berubah, 1,811 kaunter tidak diniagakan dan 16 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 287.38 juta unit bernilai RM73.74 juta.

Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti, Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata FBM KLCI mengekalkan aliran meningkat untuk kekal di atas paras 1,450 semalam apabila pembelian asing berterusan, terutama di kaunter-kaunter bank.

"Walaupun kami yakin indeks akan mengalami lebih banyak peningkatan selepas ini namun, kebimbangan baharu berkaitan bank-bank Amerika Syarikat (AS) mungkin memberi kesan kepada sentimen dalam jangka masa terdekat. Justeru, kami menjangkakan indeks itu berada dalam aliran berjulat 1,445 hingga 1,455 hari ini.

"Kami mendapati harga minyak sawit mentah (MSM) telah menurun secara ketara sepanjang minggu lepas, sekali gus boleh menambah tekanan kepada sektor perladangan," katanya kepada Bernama.

Thong berkata Wall Street ditutup rendah malam tadi berikutan Moody's menurunkan penarafan ke atas sektor perbankan AS dan ini mencetuskan semula kebimbangan mengenai potensi krisis dalam sektor itu.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd menjelaskan penurunan baru baru-baru telah berakhir dan dan bursa tempatan kembali kepada pemacuan pemulihan.

Memandangkan sentimen semakin positif sejak akhir-akhir ini, momentum pembelian mungkin berterusan, menurutnya dalam nota penyelidikan.

"Namun, kami tetap berhati-hati bahawa keuntungan mungkin dinilai menjelang pilihan raya negeri Malaysia, ditambah dengan turun naik ketara baharu di Wall Street.

"Saham berharga rendah juga berada pada kedudukan yang lebih baik dengan belian secara bergilir-gilir bersambung semula menjelang musim pelaporan prestasi korporat suku tahunan," tambahnya.

Firma pembrokeran itu juga menjelaskan pelabur akan memantau kadar inflasi China dan data jualan runcit Malaysia yang akan dikeluarkan hari ini.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank susut tiga sen kepada RM8.94, CIMB turun dua sen kepada RM5.58, CelcomDigi kurang satu sen kepada RM4.28, manakala Tenaga, Petronas Chemicals dan IHH Healthcare masing-masing tidak berubah pada RM9.60, RM6.83 dan RM5.93.

Antara saham aktif, Classita, Sapura Energy, Handal Energy dan KGW masing-masing menokok setengah sen kepada 12 sen, 6.0 sen, 25 sen dan 22 sen namun, Tanco menguncup setengah sen kepada 55 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 7.2 mata kepada 10,647.91, Indeks FBMT 100 kurang 6.83 mata kepada 10,341.03, Indeks FBM Emas Syariah susut 5.46 mata kepada 10,877.7, Indeks FBM70 menguncup 11.27 mata kepada 13,941.5 dan Indeks FBM ACE merosot 15.77 mata kepada 5,277.91.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 20.85 mata kepada 16,225.54, Indeks Tenaga susut 0.64 mata kepada 829.17, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian menambah 0.12 mata kepada 166.82 serta Indeks Perladangan menokok 1.0 mata kepada 7,144.32.

-- BERNAMA