KUALA LUMPUR: Karya seni warisan negara perlu kekal berteraskan sentuhan tangan dan kajian budaya yang mendalam, meskipun era teknologi serta kecerdasan buatan (AI) semakin mendominasi kehidupan moden.
Ketua Juri Usaha Tegas Heritage Art Competition 2026, Bibi Chew berkata setiap penyertaan menuntut usaha penyelidikan dan perbualan bersama generasi terdahulu agar warisan tidak luntur ditelan zaman.
"Kerana bagi pertandingan ini, ia sememangnya dihasilkan secara buatan tangan. Berbanding teknologi hari ini, kita bercakap tentang AI, semua ChatGPT ini, namun kita tetap mahu melihat sesuatu daripada hasil tangan," katanya ketika ditemui pada majlis penyampaian hadiah pertandingan tersebut di Bangunan Sultan Abdul Samad, pada Selasa.
Beliau menambah peserta muda kini berada pada kedudukan yang baik untuk menggabungkan pemahaman budaya, dengan penggunaan teknologi secara bijak, selagi nilai keaslian karya tidak diketepikan.
"Saya sentiasa percaya bahawa masa depan adalah tentang menggabungkan kedua-duanya. Ia tentang kerja manual dan digital, dua perkara ini tidak dapat dipisahkan dan boleh berfungsi bersama mengikut tanggungjawab kita," tegas beliau.
Penjurian telus dan jurang generasi yang dirapatkan
Bibi Chew menjelaskan proses penjurian tahun ini berlangsung menerusi dua peringkat saringan, dengan identiti peserta dirahsiakan sepenuhnya bagi menjamin keadilan daripada lebih 300 karya yang diterima dari lebih 30 institusi serta universiti di seluruh negara.
"Penjurian ini sangat adil kerana kita tidak tahu siapa pelajar tersebut dan nama mereka tidak didedahkan langsung. Tiada langsung maklumat yang dibuka," jelasnya.
Menurut beliau, pendekatan generasi muda yang mendekati warga emas dan menggali cerita lisan setempat turut memperkayakan penceritaan visual dalam pertandingan kali ini.
"Oleh sebab warisan itu sebenarnya diwariskan daripada generasi lama kepada generasi muda, jika generasi muda tidak mendekati generasi terdahulu, pasti ada sesuatu yang hilang. Jadi saya melihat jurang itu kini berjaya dirapatkan," ujarnya.
Warisan hidup dan sokongan terhadap bakat muda
Sementara itu, Pengerusi Usaha Tegas Heritage Art Competition 2026, Henry Tan berkata warisan tidak terbatas kepada bangunan bersejarah semata-mata, sebaliknya merangkumi bahasa, lagu, makanan, cerita serta karya seni yang diwariskan.
"Bangunan ini sendiri merupakan satu contoh warisan, tetapi lebih penting daripada itu, warisan ialah apa yang kita sampaikan melalui bahasa, lagu, makanan, cerita dan juga karya seni," katanya pada majlis tersebut.
Beliau turut berpandangan pertandingan tersebut berperanan sebagai pemangkin untuk menyuntik keyakinan kepada bakat muda dari seluruh negara agar terus melangkah ke hadapan dalam bidang yang diminati.
"Jadi, saya fikir sebagai sebuah pertandingan, kami menjadi pemangkin untuk menggalakkan lebih ramai artis dan bakat muda tampil mengambil bahagian.
"Dan kami berharap pengiktirafan terhadap karya mereka, khususnya kepada para pemenang, menjadi dorongan untuk menyuntik keyakinan tambahan bagi melangkah ke hadapan dan mengejar apa yang sentiasa mereka impikan," tegas beliau.