KUALA LUMPUR: Memori zaman kanak-kanak di rumah nenek di kawasan luar bandar Johor menjadi titik tolak lukisan seorang pelajar seni yang bukan sahaja meraih tempat pertama, malah turut menerima Anugerah Khas Juri pada Usaha Tegas Heritage Art Competition.
Pelajar Daisen Academy of Art, Zoey Ng Xuan Yee, berkata beliau pada awalnya mahu mengetengahkan konsep berbeza daripada karya terdahulu sebelum kembali kepada ingatan peribadi bersama keluarganya.
"Untuk karya seni saya, pada awalnya apabila saya mula memikirkan konsep, saya mahu memikirkan sesuatu yang jauh lebih berbeza berbanding karya-karya yang telah dihasilkan sebelum ini.
"Jadi apabila saya memikirkan tentang warisan, saya teringat zaman kanak-kanak saya sendiri di kawasan luar bandar di Johor, iaitu rumah nenek saya," katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah di Bangunan Sultan Abdul Samad baru-baru ini.
Artis muda itu menjelaskan lukisan yang mengambil masa kira-kira satu hingga dua bulan untuk disiapkan itu merakam kenangan di atas kanvas, termasuk gambaran dirinya bersama adik perempuannya.
Terkejut terima pengiktirafan berganda
Pemenang berkenaan mengakui tidak menyangka langsung akan memenangi tempat utama apatah lagi Anugerah Khas Juri, sehingga berasa gementar sebelum sesi wawancara berlangsung.
"Tidak, itulah sebabnya saya gementar untuk wawancara ini kerana saya tidak membuat persediaan untuk apa-apa," jelasnya.
Beliau turut berkongsi bahawa pengiktirafan yang diterima dirasakan begitu luar biasa memandangkan beliau tidak meletakkan harapan setinggi itu.
"Ya, saya tahu tentang perkara itu, tetapi tidak pernah dalam hidup saya menjangka bahawa saya akan mendapat tempat pertama, apatah lagi seperti Anugerah Khas Juri. Jadi ia agak di luar jangkaan dan di dalam hati saya menjerit gembira," ujarnya.
Naratif lisan dan dorongan keluar dari zon selesa
Sementara itu Ketua Juri, Bibi Chew berkata kekuatan penyertaan tahun ini terletak pada keberanian pelajar menggali cerita lisan dan pengalaman hidup sebelum diterjemahkan ke dalam bentuk visual.
"Oleh sebab warisan itu sebenarnya diwariskan daripada generasi lama kepada generasi muda, jika generasi muda tidak mendekati generasi terdahulu, pasti ada sesuatu yang hilang. Jadi saya melihat jurang itu kini berjaya dirapatkan," katanya dalam majlis yang sama.
Dalam pada itu, Zoey turut menggalakkan pengkarya muda yang bersifat pendiam atau pemalu agar keluar daripada zon selesa dan berani berkongsi suara mereka melalui medium seni.
"Saya fikir bagi kebanyakan artis, saya mendapati ramai artis mungkin tidak berasa selesa untuk bersuara lantang memandangkan saya mengenali ramai artis yang agak tertutup.
"Jadi saya fikir ini seharusnya menjadi satu cara untuk anda keluar daripada zon selesa dan berinteraksi dengan lebih ramai orang, berkongsi fikiran dan perasaan anda serta mengungkapkannya melalui warna atau sapuan berus atau apa sahaja yang anda mahukan," tegas beliau.