Skip to main content

Malaysia

Filipina hasrat teroka model pendidikan tinggi Malaysia, perluas kerjasama penyelidikan - KPT

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu antara yang dibincangkan menerusi Malaysia-Philippines Higher Education Partnership and Networking Forum di Bohol Island State University (BISU), Filipina.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu antara yang dibincangkan menerusi Malaysia-Philippines Higher Education Partnership and Networking Forum di Bohol Island State University (BISU), Filipina.

Ringkasan AI

  • Filipina berminat meneroka model pendidikan tinggi Malaysia, membuka peluang kerjasama strategik baharu antara kedua-dua negara dalam ekosistem pendidikan tinggi serantau.
  • Inisiatif ASEAN-GEMS Plus dilancarkan untuk menyokong penyelidikan dan inovasi, memperluas ekosistem biasiswa dan mobiliti pelajar di ASEAN.
  • Malaysia menegaskan komitmen memperkukuh kedudukan sebagai peneraju pendidikan tinggi ASEAN serta memperluas kerjasama strategik dengan negara Asia dan Eropah.
Advertisement

PUTRAJAYA: Filipina menyatakan hasrat untuk meneroka model pendidikan tinggi Malaysia, sekali gus membuka ruang kepada kerjasama strategik baharu antara kedua-dua negara dalam memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi serantau.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu antara yang dibincangkan menerusi Malaysia-Philippines Higher Education Partnership and Networking Forum di Bohol Island State University (BISU), Filipina.

Forum itu disertai Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Pengerusi Suruhanjaya Pendidikan Tinggi Filipina (CHED) Dr Shirley C. Agrupis, bersempena dengan lawatan kerja rasmi Zambry ke negara berkenaan bagi menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri Pendidikan Asia-Eropah ke-10 (ASEMME10) dari 24 hingga 26 Nov.

Advertisement

"Perbincangan turut memberikan penekanan kepada kepentingan kerjasama rentas sempadan antara universiti serta peranan pendidikan tinggi sebagai pemangkin transformasi dan peningkatan kualiti hidup masyarakat," menurut kenyataan itu.

KPT memaklumkan lawatan berkenaan turut menyaksikan pelancaran inisiatif ASEAN-GEMS Plus (ASEAN-GEMS+) iaitu platform yang dibangunkan oleh CHED dengan kerjasama Education Malaysia Global Services (EMGS) bagi menyediakan geran untuk menyokong aktiviti penyelidikan dan inovasi.

Advertisement

Menurut KPT, inisiatif itu memperluas ekosistem Pertukaran Global untuk Mobiliti dan Biasiswa (ASEAN GEMS) yang dipelopori Malaysia daripada tumpuan asal terhadap mobiliti pelajar kepada kerjasama penyelidikan dan inovasi.

"Setakat ini, ASEAN GEMS telah berjaya mengumpulkan hampir 4,000 peluang biasiswa bernilai USD198 juta bagi menyokong pelajar ASEAN melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi di rantau ini," menurut kenyataan itu.

Sementara itu, dalam sesi panel bersempena dengan ASEMME10, Zambry menekankan kepentingan memastikan kemajuan kecerdasan buatan (AI) tidak menghakis nilai kemanusiaan.

“Dalam keghairahan mengejar kemajuan AI, kita tidak boleh mengabaikan keupayaan manusia untuk berfikir secara kritis, membuat pertimbangan dan membina hubungan sesama insan agar universiti terus mencorakkan perubahan serta memastikan kemajuan teknologi sentiasa berpaksikan nilai kemanusiaan,” katanya.

Selain itu, beliau turut berkongsi komitmen Malaysia dalam memperkasakan penyelidikan berkaitan ekonomi biru, keterjaminan makanan, tenaga boleh baharu serta pemanfaatan AI bagi menyokong pemeliharaan alam sekitar.

Penyertaan Malaysia dalam ASEMME10 mencerminkan komitmen berterusan negara untuk memperkukuh kedudukan sebagai peneraju dan rujukan pendidikan tinggi di ASEAN, selain memperluas jaringan kerjasama strategik dengan negara Asia dan Eropah.

Usaha itu turut menyumbang kepada aspirasi Malaysia untuk meningkatkan keunggulan pendidikan tinggi negara di persada global, selaras dengan hala tuju Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia (RPTM) 2026–2035 khususnya melalui lonjakan Keunggulan Global ke arah memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi bertaraf dunia. 

-- BERNAMA 

 

Must Watch Video

Advertisement