KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka rendah pada Selasa berikutan penjualan saham bermodal besar terpilih telah menyeret turun indeks penanda aras pasaran walaupun penutupan sedikit tinggi dicatatkan Wall Street.

Pada 9.08 pagi, penanda aras, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 7.0 mata kepada 1,514.86 daripada 1,521.86 ketika ditutup pada Isnin.

Indeks itu dibuka 4.77 mata lebih rendah kepada 1,517.09.

Wall Street ditutup 0.3 peratus lebih tinggi apabila Purata Perindustrian Dow Jones (DJIA) dapat meningkat semula daripada penurunan harian untuk mengakhiri penyusutan selama enam hari berturut-turut.

Prestasi itu didorong oleh aktiviti pembelian semasa harga rendah menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Rizab Persekutuan (FOMC) Amerika Syarikat (AS) selama dua hari.

Di Bursa Malaysia, lingkungan pasaran adalah negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 205 berbanding 124, manakala 244 kaunter tidak berubah, 1,707 kaunter tidak diniagakan dan 30 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 222.58 juta unit bernilai RM119.76 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, aktiviti pembelian semasa harga rendah dijangka muncul di bursa tempatan hari ini, terutama dalam sektor teknologi, susulan pemulihan berbentuk 'V' di Wall Street (kerana kebanyakan saham mengalami situasi terlebih jual dengan ketara).

Ia menambah, dari segi komoditi, harga minyak sawit mentah (MSM) dan minyak mentah mengalami penurunan, namun masing-masing kekal kukuh apabila masih melebihi paras RM5,200 satu tan dan US$86 setong.

"Kami yakin pelabur mungkin membeli saham yang mengalami penurunan menjelang musim pelaporan pendapatan pada Februari, terutama saham teknologi berikutan penjualan baru-baru ini.

"Selain itu, pelabur dijangka memberi perhatian kepada saham pengguna dan bahan binaan, memandangkan keadaan ekonomi yang semakin baik," menurutnya dalam nota penyelidikan.

Bagi saham wajaran tinggi, Maybank, Petronas Chemicals dan CIMB masing-masing turun lima sen kepada RM8.20, RM8.85 dan RM5.20, manakala Public Bank susut satu sen kepada RM4.18, IHH Healthcare kurang 11 sen kepada RM6.36 dan Tenaga tidak berubah pada RM9.11.

Bagi saham aktif, Senheng turun 12 sen kepada 95 sen, Metronic tidak berubah pada dua sen dan G3 Global menambah satu sen kepada lapan sen.

Saham paling rugi, Complete Logistics Services merosiot 24 sen kepada RM3.72, diikuti Senheng dan IHH Healthcare.

Di papan indeks, FBM ACE naik 6.41 mata kepada 6,109.39 dan FBM 70 meningkat 5.76 mata kepada 13,411, manakala Indeks FBM Emas susut 36.43 mata kepada 10,881.07, Indeks FBMT 100 turun 36.93 mata kepada 10,588.11 dan Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 29.36 mata kepada 11,597.56.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 59.55 mata kepada 15,641.31, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian kurang 0.73 mata kepada 199.78, dan Indeks Perladangan menguncup 29.78 mata kepada 6,696.85.

-- BERNAMA