KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia dibuka lebih tinggi pada hari terakhir dagangan 2023, didorong oleh aktiviti memperelokkan akaun yang berterusan dan jangkaan kepada pengurangan awal kadar faedah di Amerika Syarikat (AS) tahun depan, kata peniaga.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.47 mata kepada 1,457.88 daripada 1,457.41 semasa ditutup pada Khamis. FBM KLCI dibuka 0.16 lebih tinggi kepada 1,457.57.

Di pasaran lebih meluas, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 122 kepada 105 manakala 238 kaunter tidak berubah, 1,795 tidak diniagakan dan 45 lain digantung dagangan.

Jumlah dagangan sebanyak 258.59 juta unit bernilai RM58.46 juta.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata jangkaan sebanyak tiga pengurangan kadar faedah di AS tahun depan dengan satu daripadanya menjelang Mac, akan terus menyokong situasi pasaran keseluruhan di negara itu apabila sentimen positif akhirnya turut dinikmati oleh saham di pasaran tempatan.

"Memandangkan situasi pasaran keseluruhan yang positif di AS, kami menjangka sokongan belian dalam sektor teknologi. Berdasarkan aliran belian semalam, beberapa sektor diniagakan lebih tinggi iaitu tenaga boleh baharu, pembinaan dan saham pengguna terpilih," katanya.

Dalam kalangan kaunter saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank masing-masing tidak berubah pada RM8.91 dan RM4.28, manakala CIMB dan Tenaga Nasional masing-masing merosot satu sen kepada RM5.83 dan RM9.99, manakala Petronas Chemicals menokok satu sen kepada RM7. 22.

Bagi saham aktif, Pelikan berkurangan empat sen kepada 29.5 sen, AT Systematization turun setengah sen kepada setengah sen, Hong Seng tidak berubah pada 2.5 sen dan Green Ocean menambah lima sen kepada 17.5 sen manakala Iris naik setengah sen kepada 7.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas menokok 4.35 mata kepada 10,847.97, Indeks FBMT 100 naik 4.80 mata kepada 10,507.87, Indeks FBM Emas Syariah meningkat 6.81 mata kepada 11,030.55 dan Indeks FBM 70 menambah 12.33 mata kepada 14,639.47.

Bagaimanapun, Indeks FBM ACE turun 19.48 mata kepada 5,252.27.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian meningkat 0.18 kepada 173.05, Indeks Tenaga naik 1.15 mata kepada 821.12 dan Indeks Hartanah menokok 1.17 mata kepada 865.33.

Indeks Perkhidmatan Kewangan merosot 10.17 mata kepada 16,287.35 dan Indeks Perladangan turun 1.25 mata kepada 7,016.06.

-- BERNAMA