KUALA LUMPUR: Dagangan Bursa Malaysia meningkat kembali pagi ini dan dibuka lebih tinggi, disokong oleh kegiatan belian baharu yang membabitkan saham wajaran tinggi terpilih.

Pada 9.15 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.24 mata kepada 1,411.78 daripada 1,411.54 pada penutup semalam.

Indeks barometer dibuka pada paras 1,411.36, turun sedikit sebanyak 0.18 mata.

Namun begitu, pergerakan harga di pasaran secara keseluruhan menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 185 berbalas 157, manakala 244 kaunter tidak berubah, 1,672 tidak diniagakan dan 14 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 236.06 juta unit bernilai RM110.98 juta.

Menurut Malacca Securities Sdn Bhd, pelabur dijangka masih mengambil sikap berhati-hati memandangkan rundingan siling hutang masih tidak menghasilkan kemajuan.

"Pelabur mungkin memberi tumpuan kepada syarikat yang pada asasnya kukuh di tengah-tengah musim pelaporan pendapatan di bursa tempatan.

"Bagi komoditi, minyak mentah Brent diniagakan melebihi US$76 setong, manakala harga minyak sawit mentah berlegar melebihi RM3,400 satu tan dan harga emas pula kekal di bawah US$2,000 seaun," katanya.

Firma itu menambah sektor semikonduktor boleh menjadi antara sektor tumpuan berikutan rancangan kerajaan untuk mengukuhkan sistem semikonduktor Malaysia dengan hasrat dapat mencapai 15 peratus penguasaan pasaran menjelang 2030.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank turun 2.0 sen kepada RM8.59, CIMB Group susut 3.0 sen menjadi RM4.98, Public Bank dan Tenaga Nasional, kedua-duanya susut 1.0 sen dan mencatatkan harga RM3.90 dan RM9.55 tetapi Petronas Chemicals menambah 7.0 sen kepada RM6. 96.

Bagi kaunter aktif, Bahvest Resources naik 2.0 sen kepada 18.0 sen, YTL Corporation meraih 2.5 sen kepada 80.5 sen, Aneka Jaringan memperoleh 1.0 sen kepada 18.0 sen manakala Tanco dan Jade Marvel menambah setengah sen setiap satu kepada 55.0 sen dan 24.0 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas merosot 3.50 mata kepada 10,367.15, Indeks FBMT 100 turun 3.77 mata kepada 10,066.72 manakala Indeks FBM Emas Syariah meningkat 8.29 mata untuk mencatatkan paras 10,750.50 dan

Indeks FBM 70 pula merosot 27.98 mata kepada 13,571.83 tetapi Indeks ACE FBM meningkat 19.16 mata kepada 4,936.95.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian mengembang 0.57 mata kepada 164.70, Indeks Perkhidmatan Kewangan turun 34.31 mata menjadi 15,375.90, Indeks Perladangan berkurangan 11.55 mata kepada 6,963.60 dan Indeks Tenaga menguncup 1.68 mata kepada 835.17.

-- BERNAMA