KUALA LUMPUR: Bursa Malaysia meneruskan momentum meningkatnya untuk dibuka tinggi sedikit pagi ini mendapat rangsangan daripada sentimen positif pasaran susulan peningkatan di Wall Street semalaman.

Pada 9.05 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 1.04 mata kepada 1,492.23, daripada paras penutup 1,491.19 pada Isnin.

Indeks petunjuk pasaran itu dibuka tinggi naik 1.37 mata kepada 1,492.56.

Suasana pasaran positif dengan kaunter untung mengatasi kaunter rugi sebanyak 157 berbanding 112, manakala 240 kaunter tidak berubah, 1,763 tidak diniagakan dan 13 yang lain digantung.

Jumlah dagangan berjumlah 182.68 juta unit bernilai RM76.33 juta.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Thong Pak Leng berkata Wall Street meneruskan aliran meningkatnya apabila para peniaga tidak begitu mengambil kira sama ada ekonomi Amerika Syarikat (AS) akan dapat berjaya menangani penurunan sederhana di tengah-tengah petunjuk ekonomi yang bercampur-campur.

"Bagaimanapun, memandangkan kesemua ketiga-tiga indeks utama berada pada paras tertinggi masing-masing, suatu yang menarik untuk melihat sama ada asas yang ada sekarang mampu mengekalkan kenaikan itu," katanya.

Di bursa tempatan, FBM KLCI ditutup kukuh semalam berikutan sokongan daripada aktiviti membeli saham berharga rendah.

"Kami berharap indeks itu boleh melepasi paras 1,500 tidak lama lagi untuk mengekalkan trajektori meningkat.

"Bagi hari ini, kami percaya indeks utama akan berlegar dalam jajaran 1,490-1,500, seiring dengan prestasi positif di Wall Street," katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan CIMB naik dua sen setiap satu masing-masing kepada RM9.03 dan RM5.99, CelcomDigi meningkat tiga sen kepada RM4.26, dan Hong Leong Bank naik enam sen kepada RM19.08 manakala Public Bank berkurangan satu sen kepada RM4.33.

Bagaimanapun, Tenaga, Petronas Chemicals dan IHH Healthcare tidak berubah masing-masing pada RM10.48, RM6.71 dan RM5.97.

Dalam kalangan kaunter cergas, YNH merupakan saham paling cergas diniagakan pagi ini selepas meningkat 3.5 sen atau 6.31 peratus kepada 59 sen dengan 22.55 saham bertukar tangan.

Sawarak Consolidated naik dua sen kepada 45.5 sen, Widad Group dan Berjaya Corporation meningkat setengah sen masing-masing kepada 14 sen dan 30 sen, Leform menambah satu sen kepada 19 sen, manakala Bina Puri dan Minetech tidak berubah masing-masing pada lapan sen dan 15.5 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas naik 9.86 mata kepada 11,132.08, Indeks FBM 70 meningkat 20.66 mata kepada 15,174.46, Indeks FBMT 100 menokok 9.67 mata kepada 10,789.96, Indeks FBM Emas Shariah menambah 7.18 mata kepada 11,239.89 dan Indeks FBM ACE menokok 0.32 mata kepada 4,834.12.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 12.01 mata kepada 16,633.86, Indeks Hartanah naik 0.93 mata kepada 906.53, Indeks Perladangan menambah 1.64 mata kepada 7,152.37, Indeks Tenaga menokok 6.13 mata kepada 860.48 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.1 mata kepada 173.53.

-- BERNAMA