KUALA NERUS: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menegaskan komitmennya dalam mempertahankan elemen ketelusan dan integriti sistem dan mekanisme kemasukan pelajar ke universiti awam.
Pengarah Pejabat Komunikasi Korporat UMT Zukiferee Ibrahim berkata pihaknya memandang serius kenyataan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra Haim Hilman Abdullah yang mendakwa wujudnya amalan menjual tempat dan kemasukan ke universiti awam melalui pintu belakang bagi pelajar yang tidak memenuhi syarat kelayakan akademik.
Beliau berkata tuduhan tersebut boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap ketelusan institusi pendidikan tinggi awam, sekali gus menghakis kepercayaan masyarakat terhadap integriti sistem pendidikan negara.
"Sistem kemasukan ke universiti awam di Malaysia dilaksanakan melalui mekanisme yang telus, teratur dan tertakluk kepada dasar serta peraturan yang ditetapkan pihak berkuasa berkaitan.
"Justeru sebarang kenyataan yang boleh mengelirukan masyarakat atau menimbulkan keraguan terhadap proses tersebut perlu diteliti berdasarkan fakta dan bukti yang sahih," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan itu, Zukiferee berkata pihak pengurusan UMT telah bertindak membuat laporan polis terhadap EXCO negeri Kedah itu bagi membolehkan siasatan dijalankan secara profesional, bebas serta menyeluruh.
Beliau berkata sebagai sebuah institusi pendidikan awam, UMT akan terus komited dalam mempertahan integriti, ketelusan dan kredibiliti sistem pendidikan tinggi negara demi kepentingan mahasiswa, masyarakat dan pembangunan negara.
-- BERNAMA