BANGKOK: Seorang anggota Polis Pengawal Sempadan Thailand berusia 33 tahun dihadapkan ke Mahkamah Jenayah atas pertuduhan menembak mati dua penunggang motosikal sewa dalam satu pertikaian tambang di daerah Din Daeng, awal pagi Ahad.
Suspek, Lans Koperal Polis Namthap Phakwattana, dibawa ke mahkamah pada Isnin untuk menghadapi pertuduhan tambahan selepas mangsa kedua meninggal dunia akibat kecederaan parah, lapor media tempatan.
Antara pertuduhan dikenakan termasuk membunuh dengan niat, cubaan membunuh serta membawa senjata api di tempat awam tanpa kebenaran atau keperluan munasabah.
Pihak penyiasat membantah sebarang permohonan jaminan atas alasan keseriusan kes serta risiko suspek melarikan diri.
Siasatan awal mendapati kejadian berlaku kira-kira jam 2.50 pagi apabila suspek menghampiri sekumpulan penunggang motosikal sewa di kawasan Din Daeng untuk ke Makkasan.
Pertengkaran tercetus selepas suspek tidak berpuas hati dengan kadar tambang sebanyak 120 baht (kira-kira RM15).
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek diserang terlebih dahulu sebelum melepaskan beberapa das tembakan menggunakan pistol SIG Sauer 9mm miliknya.
Seorang mangsa berusia 37 tahun maut di tempat kejadian akibat beberapa kesan tembakan, manakala mangsa kedua meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
Seorang lagi mangsa terselamat tetapi mengalami kecederaan parah pada kaki.
Keluarga suspek memaklumkan beliau mempunyai masalah kesihatan mental dan sedang menerima rawatan.