KUALA LUMPUR: Indeks utama Bursa Malaysia memulakan dagangan pagi ini tinggi sedikit sebelum bergerak rendah kemudiannya, mengambil petunjuk bercampur-campur daripada prestasi semalaman Wall Street berikutan kebimbangan terhadap ekonomi yang tidak menentu, kata seorang penganalisis.

Pada 9.12 pagi, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 2.42 mata kepada 1,427.13 daripada penutupan semalam pada paras 1,429.55.

Indeks utama dibuka 1.77 mata lebih tinggi pada 1,431.32.

Pergerakan harga di pasaran menyaksikan kaunter rugi mengatasi kaunter untung 165 berbalas 138, manakala 244 kaunter tidak berubah, 1,669 tidak diniagakan dan 12 yang lain digantung.

Jumlah dagangan 224.34 juta unit bernilai RM83.04 juta.

Menurut Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng, Wall Street mengakhiri dagangan bercampur-campur apabila peniaga tidak lagi tertumpu pada saham pertumbuhan berikutan ekonomi Amerika Syarikat (AS) yang semakin perlahan seperti yang ditunjukkan oleh pasaran pekerjaan yang semakin berkurangan.

Di pasaran tempatan, beliau berkata sentimen keseluruhan dijangka kekal berhati-hati berikutan kebimbangan ketidaktentuan pasaran.

Bagaimanapun, indeks utama nampaknya disokong dengan baik pada tahap semasa.

"Kami menjangkakan indeks akan berlegar di sekitar julat 1,425-1,435 hari ini kerana pengumpulan pada kaunter tenaga dan telekomunikasi diunjur berlaku," katanya kepada Bernama.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank masing-masing susut dua sen kepada RM8.64 dan RM4, Petronas Chemicals turun lima sen untuk mencatatkan harga RM7.20 manakala CIMB dan TNB tidak berubah, masing-masing pada RM5.31 dan RM9.26.

Bagi saham aktif, Fitters kekal pada 7.5 sen, Vinvest menambah setengah sen kepada 21 sen manakala Tanco susut 3.5 sen kepada 47 sen dan Jade Marvel lemah setengah sen kepada 31 sen.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 13.41 mata kepada 10,476.05, Indeks FBMT 100 menguncup 12.60 mata menjadi 10,160.94 dan Indeks FBM Emas Syariah menyusut 12.49 mata kepada 10,779.58.

Indeks FBM ACE turun 39.08 mata kepada 5,298.10 manakala Indeks FBM 70 naik 2.37 mata kepada 13,635.66.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan lemah 8.97 mata kepada 15,783.58, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian turun 0.61 mata kepada 172.15, Indeks Perladangan susut 2.06 mata kepada 6,729.63 dan Indeks Tenaga menguncup 1.97 mata kepada 867.2.

-- BERNAMA